Seorang penuntut A B Shetty Memorial Institute of Dental Sciences, Nitte University, Manglore, India yang berasal dari daerah ini melakar kejayaan membanggakan apabila menerima anugerah berprestij dalam bidang pembedahan pergigian.
Muhammad Safwan Mustafa Kamal, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) berjaya mengukir nama selaku penerima Anugerah Merit (Merits Award) sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
Anugerah Merit diterima anak Kampung Hayat, Pelangai di sini itu difahamkan hanya diberikan kepada penuntut yang mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan terakhir BDS bagi subjek peridontology seluruh India yang diiktiraf Persatuan Periodontology India (ISP).
\
Muhammad Safwan merawat pesakitnya di A B Shetty Memorial Institute of Dental Sciences, Nitte University.
Muhammad Safwan berkata, anugerah itu diterimanya pada 42nd National Peridontology Conference di Kolkata, 24 November lalu.
“Saya bersyukur dengan pencapaian ini serta berterima kasih kepada kedua ibu bapa, keluarga dan guru-guru serta rakan saya yang banyak memberikan semangat dan kekuatan sepanjang pengajian saya. Merekalah pendorong kejayaan bermakna ini.
“Kalau saya down atau stress, saya akan buat video call dengan ibu dan ayah untuk saya luahkan perasaan. Banyak yang mereka pesan supaya saya di India tak tinggal solat, rajin baca dan dekatkan diri dengan Quran.
“Mereka selalu ingatkan saya supaya jangan kedekut ilmu serta sentiasa berkongsi ilmu dengan orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.
Menurutnya, anugerah itu bukan hanya untuk dirinya malah juga untuk kawan-kawan yang berada di Malaysia sebagai bukti rakyat Malaysia mampu berjaya di persada antarabangsa.
Muhammad Safwan ketika melakukan latihan praktikal pembedahan gigi.
“Walaupun saya berasal dari Kampung Hayat tapi saya tak pernah rasa sedih dan ketinggalan dan sentiasa gunakan peluang yang ada untuk mencapai cita-cita. Saya ingin membuktikan bahawa orang kampung juga boleh berjaya jika ada kemahuan dan kemudahan.
“Sejak saya melangkah masuk belajar di institusi ini, saya memang target jadi pelajar terbaik dalam bidang yang saya ceburi untuk membuktikan bahawa peluang yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas kuota Melayu bukanlah sesuatu yang sia-sia,” katanya.
Muhammad Safwan yang kini sedang melakukan latihan industri di universitinya berkata tiada rahsia tertentu untuk mencapai kejayaan sebaliknya perlu fokus dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
“Belajar di India sudah semestinya tidak sama dengan di bumi sendiri. Antara cabaran yang paling besar yang saya hadapi ialah bahasa yang digunakan untuk pertuturan dan jadual akademik yang
padat.
Muhammad Safwan bersama rakan-rakannya sepengajian.
“Bahasa yg digunakan untuk berkomunikasi bukan seperti yang lazim seperti bahasa Hindi tetapi lebih kepada bahasa-bahasa lain seperti Kannada, Malayalam dan Konkani.
“Kebanyakan waktu berkomunikasi dengan pesakit, kita pelajar-pelajar Malaysia akan meminta bantuan dalam penterjemahan daripada jururawat atau rakan-rakan kami dari India,” katanya.
Menurutnya, setiap pelajar di bandar mahupun luar bandar haruslah terus berusaha dan tidak hilang harapan untuk berjaya.
“Anugerah ini juga diharap dapat memberikan impak yang besar dan semangat kepada pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa di Malaysia mahupun di luar negara
“Pengiktirafan ini membuktikan, pelajar-pelajar yang berasal dari Malaysia juga mampu setaraf dengan pelajar tempatan antarabangsa lain untuk mendapatkan penghargaan itu,” katanya.
Muhammad Safwan berkata, kejayaan diperolehnya itu diharap dapati dijadikan motivasi kepada pelajar-pelajar yang lain menjadi lebih cemerlang dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
0 comments:
Post a Comment