Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 30, 2017

[ROMPIN LALU JALAN BALAK TIGA JAM


Lalu jalan balak tiga jam


Namanya sahaja sudah cukup menggerunkan terutama bagi mereka yang pertama kali berkunjung.

Air Terjun Rimau Berjemur yang berada di pedalaman Hutan Simpan Lesung ini masih kurang popular memandangkan tidak ramai yang tahu atau pernah sampai ke lokasi ini yang letaknya jauh di pedalaman, kecuali penduduk tempatan.

Tidak dinafikan, mendengar namanya boleh menimbulkan perasaan takut kerana kawasan hutan di sekelilingnya sememangnya habitat Pak Belang selain kawasan ia jauh dari penempatan penduduk.

Perjalanan masuk ke sini mengambil masa dua hingga tiga jam melalui jalan balak atau ladang sama ada dari Muadzam Shah atau Kuala Rompin dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda atau motosikal lasak.

Disebabkan kesukaran untuk masuk, pengunjung digalakkan mendapat khidmat pemandu arah dalam kalangan penduduk tempatan yang arif tentang selok-belok kawasan itu.

Segala kesukaran dan kepenatan perjalanan akan hilang sebaik tiba apabila pengunjung disambut dengan bunyi deruan air terjun dan keindahan alam semula jadinya.

Pengunjung berpeluang menyusur pinggir sungai berjeram sejauh kira-kira 100 meter untuk sampai di lokasi batu hamparan yang dikaitkan dengan nama Rimau Berjemur itu.

Menurut penduduk yang sering masuk ke kawasan ini, sama ada sedar atau tidak, perjalanan menyusur hutan di pinggir sungai jeram itu tidak menghadapi gangguan nyamuk dan jika bermalam, ubat nyamuk tidak diperlukan.

Bagaimanapun, dalam keindahan itu, tetap ada bahaya yang mungkin menanti pengunjung dan aspek ini perlu diambil berat oleh sesiapa pun yang merancang untuk ke sana.

Seorang penduduk tempatan yang gemar aktiviti lasak di hutan, Arman Mazlan, 41, berkata, jarak dan laluan untuk ke air terjun itu yang hanya menggunakan jalan balak berisiko tinggi.

Menurutnya, kawasan itu juga liputan talian telefon agak terhad menyebabkan berlaku masalah komunikasi jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, walaupun belum pernah berlaku kejadian tidak diingini di kawasan itu, namun itu bukan alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan.

“Disebabkan Rimau Berjemur ini masih belum dikenali ramai, aspek kemudahan memang tiada disediakan di sini.

“Jalan masuk hanya menggunakan jalan balak yang sudah tentu ada bahayanya terutama pada waktu hujan, talian telefon juga tiada, jadi seelok-eloknya maklum kepada orang terdekat atau pihak berkuasa jika merancang untuk ke sana agar jika berlaku sesuatu tindakan pantas boleh diambil,” katanya.

Arman berkata, sebelum sampai ke lokasi, perlu melintas beberapa batang anak sungai dan risikonya adalah kemungkinan paras air akan naik jika hujan menyebabkan kenderaan tidak boleh melaluinya.

Katanya, justeru itu pengunjung atau kumpulan ekspedisi perlu peka dengan cuaca bagi mengelak terperangkap terutama jika hari sudah mula gelap.

Cuaca hujan juga boleh menyebabkan kejadian kepala air dan Rimau Berjemur juga tidak terlepas daripada kejadian ini kerana ia biasa berlaku sekiranya hujan di bahagian hulu.

Arman berkata, justeru itu ketika mandi-manda perlu sentiasa beringat walaupun seronok kerana waktu hujan air lebih banyak dan sejuk.


0 comments:

share2