Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 3, 2017

[TEMERLOH] MAHU TERUS BANTU RAKYAT


Mahu terus bantu rakyat


Pemuda Umno Temerloh merancang untuk menganjurkan program mengisi minyak motosikal secara percuma pada setiap bulan bagi membantu rakyat dalam Parlimen Temerloh.

Ketuanya, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, program tersebut yang kali pertama diadakan bulan lalu mendapat sambutan baik masyarakat malah dinanti-nanti oleh penunggang motosikal khususnya golongan muda.

Menurutnya, dengan kejayaan menganjurkan program kali pertama sebelum ini dan terbaharu kelmarin, Pemuda Umno Temerloh berhasrat untuk meneruskannya setiap bulan di setiap kawasan Dun dalam Parlimen Temerloh.

“Bukan itu saja, atas sambutan yang baik ini... kami berminat untuk meneruskan program murni ini dengan menganjurkan program menukar minyak hitam percuma bagi motosikal yang bakal diadakan di Lanchang selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program mengisi minyak motosikal secara percuma di Petronas Lurah Semantan di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Temerloh, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang turut meluangkan masa lebih sejam melayani penunggang motosikal.

Azril Rizal berkata, program itu akan diteruskan setiap bulan supaya mana-mana individu yang tidak berkesempatan mengisi minyak motosikal percuma dalam dua program sebelum ini turut mendapat peluang berbuat demikian.

Beliau berkata, dalam program yang diadakan semalam, sebanyak 500 motosikal menyertai program itu dengan peruntukan sebanyak RM5 bagi setiap motosikal untuk diisi minyak secara percuma.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, program tersebut adalah sumbangan kecil Umno kepada generasi muda yang juga pemimpin negara masa hadapan.

Katanya, diharap Pemuda Umno akan meneruskan program prihatin seperti yang dianjurkan itu pada masa hadapan sekali gus dapat membantu lebih ramai rakyat.




0 comments:

share2