Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 26, 2017

[ROMPIN] DULU SUNYI, KINI MERIAH


Dulu sunyi, kini meriah


Pantai Hiburan bukanlah lokasi asing buat penduduk tempatan di sekitar Kuala Rompin mahu pun pengunjung luar yang datang bercuti di sini.

Terletak berhampiran dengan Bandar Kuala Rompin yang menjadi pusat pentadbiran daerah, ia juga menjadi lokasi Pesta Rompin yang dianjurkan pada September setiap tahun.

Bagaimanapun, pantai yang sepatutnya dipenuhi pengunjung seronok bermandi-manda dan melakukan pelbagai aktiviti terutama pada hujung minggu atau cuti hingga kini menjadi gambaran bagi sesiapa yang mahu pantai itu menjadi begitu.


Alunan pelbagai jenis lagu oleh D’Kukur Buskers menghiburkan pengunjung Pantai Hiburan.


Namun sejak dua minggu lalu suasana Pantai Hiburan mula berubah dengan adanya gerai-gerai peniaga dan dendangan lagu daripada kumpulan buskers tempatan.

Ketua Kumpulan D’Kukur Buskers, Razali Awang, 38, kehadiran kumpulan yang terdiri daripada anak tempatan itu menjadikan pantai yang dulu sunyi kini sudah ada hiburan secara santai.

Memainkan lagu daripada pelbagai jenis irama, beliau turut mengakui sambutan yang diberikan oleh pengunjung amat baik.

Pengunjung Pantai Hiburan kini boleh membeli pelbagai jenis produk makanan di gerai-gerai perniagaan yang ada.


Tambah menarik, kumpulan ini juga ada mencipta lagu bertajuk ‘Rompin Indah’, apabila dimainkan irama dan liriknya yang berkisar tentang daerah Rompin sudah tentu menghiburkan pendengar terutama anak jati Rompin.

“Setakat ini kumpulan D’Kukur Buskers masih baru membuat persembahan di sini namun sambutan yang diberikan amat baik dan pengunjung juga dilihat selesa santai bersama keluarga.

“Kita harapkan suasana seperti ini dapat dikekalkan sampai bila-bila kerana ia mampu memberi impak besar iaitu menjadi daya tarikan kepada Pantai Hiburan,” katanya.

Bermula setiap petang Jumaat hingga Ahad, peniaga turut memanfaatkan ruang menjual pelbagai produk makanan.

Pantai Hiburan kini berpotensi jadi antara destinasi menarik untuk aktiviti santai bersama keluarga.


Pengunjung kini tidak lagi bergantung kepada kedai makan yang sangat terhad sebaliknya boleh mendapatkan air dan minuman di gerai-gerai perniagaan yang ada.

Aktiviti niaga hidupkan suasana pantai

Seorang peniaga, Izzat Izzuddin Ramli, 27, berkata, ruang yang diberikan kepada peniaga-peniaga kecil sepertinya di pantai itu amat bagus sekali gus menghidupkan pantai.

Menurutnya, dengan adanya persembahan kumpulan buskers dan gerai-gerai perniagaan, pengunjung yang datang sudah ada pilihan berbanding sebelum ini mereka hanya duduk melihat laut atau bersiar-siar.

“Saya baru mula berniaga di sini. Jualan masih tak selaju berniaga di pasar minggu tapi pulangan masih okey, senang cakap ada orang beli,” katanya.

Usaha menjadikan Pantai Hiburan meriah sesuai dengan namanya itu sudah tentu disambut baik penduduk.

0 comments:

share2