Hati ibu mana yang tidak bimbang apabila anak gadis kesayangan hilang tanpa khabar berita sejak hampir dua minggu lalu.
Lebih merisaukan, dia dipercayai lari bersama seorang lelaki malah sempat meninggalkan pesanan melalui aplikasi WeChat supaya keluarga tidak mencarinya sebelum memutuskan komunikasi dan terus menyepi hingga kini.
Siti Noraziah Harun, 38, dari Kampung Kelat Rendang, Pekan, berkata, anaknya, Nur Arina Aisyah Abdul Latiff, 21, tidak pulang ke rumah sejak 30 September lalu selepas keluar bekerja di sebuah restoran makanan segera.
Menurutnya, dia mendapat tahu, selepas menerima gaji, anaknya terus menghilangkan diri dipercayai mengikuti teman lelakinya.
“Kami dapat mesej, dia beritahu jangan cari, lepas tu terus tak ada berita.
“Kebetulan, sebelum ini saya ada ambil telefonnya sebab tak nak dia berhubung dengan lelaki tu. Tak sangka pula dia sanggup buat macam ni.
“Arina juga dah sekat akak di WeChat, jadi kami dah tak dapat hubungi dia lagi. Terus kami buat laporan polis lima hari lepas dia hilangkan diri,” katanya.
Menurutnya, dia ada mendengar khabar angin anaknya pernah ke Johor dan kini bersama lelaki itu di Kedah.
“Saya memang risau sangat keselamatan Arina dan rayu dia balik ke pangkuan keluarga.
“Ayah dia, Abdul Latiff Muhd Said, 55, pun tak sihat sekarang sebab ada kencing manis dan darah tinggi,” katanya.
Siti Noraziah berkata, anaknya dan lelaki itu seperti sudah merancang untuk melarikan diri memandangkan sebelum ini mereka pernah bertindak demikian.
“Jadi sebagai ibu saya risau sangat kalau mereka buat sesuatu yang tak baik dan memalukan,” katanya.
Katanya, sebagai jalan terakhir dia nekad mencari anaknya itu melalui akhbar dengan harapan Nur Arina Aisyah pulang dengan segera.
Dia juga merayu bantuan orang ramai yang ada maklumat atau tahu di mana anaknya berada supaya menghubunginya di talian 011-16414613.
0 comments:
Post a Comment