Masyarakat Asli di daerah ini dinasihatkan supaya tidak lagi hanya berpeluk tubuh dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat semata-mata, sebaliknya mereka perlu berani menyahut seruan dan cabaran untuk menjadi bangsa maju, kental serta berdaya saing.
Ahli Parlimen Maran, Dato' Sri Ismail Abdul Muttalib berkata, semua rakyat dan kaum berhak mendapatkan pembelaan malah mempunyai peruntukan tersendiri dalam bidang dan kepakaran masing-masing.
Menurutnya, hanya kaum dan individu itu sendiri yang perlu lebih proaktif dan progresif dalam mendapatkan hak masing-masing.
"Kerajaan BN tidak pernah membeza rakyat pelbagai kaum di negara ini termasuk Orang Asli, layanan diberikan sama rata dan adil.
“Malah menjadi hasrat dan keutamaan kerajaan BN untuk membantu rakyat pelbagai kaum dan etnik di negara ini.
"Kerajaan tidak bersikap pilih kasih. Kerajaan akan tetap membantu dengan menyediakan peruntukan yang berganda pada setiap tahun bagi kemajuan dan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap apda majlis perjumpaan dengan Tok Batin , pemimpin dan penduduk Orang Asli daerah Maran di dewan orang ramai perkampungan Orang Asli Batu 55, di sini.
Ismail berkata, kerajaan meluluskan peruntukan hampir RM300 juta untuk pembangunan prasarana tahun ini untuk masyarakat Orang Asli dan peruntukan tersebut bertambah setiap tahun,
Beliau berkata, kerajaan tidak akan membiarkan masyarakat Orang Asli hidup terbiar dan melarat, sebaliknya akan terus memberikan pembelaan dan meningkatkan tahap penghidupan masyarakat tersebut.
Menurutnya, dari segi pendidikan, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran kepada anak anak Orang Asli supaya mereka berjaya dan mampu bersaing.
Katanya, manakala dibidang ekonomi pula, kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan dan dana kepada golongan belia.
Dalam pada itu katanya, kini terdapat hampir 3,000 belia Orang Asli yang tamat persekolahan mengikuti pelbagai latihan kemahiran disediakan kerajaan.
“Mereka ini diberikan latihan pelbagai bidang kemahiran supaya apabila tamat akan menjadi rakyat dan belia berjaya serta dapat mengubah nasib serta masa depan keluarga,” katanya.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, Orang Asli perlu berani berubah dengan manfaatkan segala kemudahan yang disediakan kerajaan jika mereka ingin maju dan bersaing.
0 comments:
Post a Comment