Kontraktor di negeri ini diminta bersatu tanpa mengira kaum supaya dapat terus mengekalkan kemajuan yang dicapai hingga kini.
Exco Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Dato' Sri Shahiruddin Abd Moin berkata, dalam kekalutan yang berlaku di seluruh dunia, Malaysia masih di tahap stabil dengan pencapaian ekonomi yang dicatatkan.
Menurutnya, kontraktor adalah golongan yang dihormati kerana penting dalam pembangunan negara menerusi peluang pekerjaan yang dapat ditawarkan kepada rakyat.
“Namun kualiti perlu ditekankan, bina kakitangan dengan ilmu dan kemahiran selain membentuk budaya kreatif, inovasi untuk memperkukuhkan syarikat.
“Barulah syarikat terus lebih maju sekali gus dapat menawarkan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ucapan perasmian Seminar Pemantapan Pengurusan Kualiti Industri Pembinaan 2017 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Hotel Zenith di sini, semalam.
Seramai 450 kontraktor seluruh Pahang menyertai seminar sehari itu yang turut dihadiri Pengarah CIDB Pahang, Saini Said.
Dalam pada itu, Shahiruddin turut meminta peserta memanfaatkan ilmu yang diperolehi menerusi seminar tersebut supaya dapat menghasilkan projek yang berkualiti.
“Jika tiada kualiti, masyarakat akan marah. Jadi ambil peluang seminar ini untuk membina disiplin dan manfaatkan ilmu yang diberikan,” katanya lagi.
Sementara itu, Saini memberitahu, seminar itu adalah kali keempat dianjurkan dan Pahang mencatatkan jumlah peserta tertinggi berbanding tiga lokasi lain iaitu Negeri Sembilan (350), Kuala Lumpur (350) dan Selangor (330).
Menurutnya, seminar tersebut memberi penekanan dan penjelasan kepada semua penggiat industri pembinaan berkaitan pindaan akta dan program baharu yang dilaksanakan CIDB Malaysia melibatkan beberapa sektor utama iaitu operasi, personel dan kontraktor, dasar dan korporat serta dari pejabat Ketua Eksekutif.
0 comments:
Post a Comment