Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 6, 2017

[JENGKA] KENAL PASTI POTENSI DIRI ANAK


Kenal pasti potensi diri anak


Ibu bapa disarankan tidak terus memarahi anak yang mendapat keputusan teruk, sebaliknya memberi galakan untuk lebih berusaha pada peperiksaan akan datang.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia, Dato' Hajjah Shahaniza Shamsuddin berkata, ibu bapa juga perlu memahami anak-anak selain membantu mengenali potensi mereka.

“Bila anak mengadu keputusan peperiksaan teruk, ibu bapa janganlah terus marah tapi beri mereka galakan supaya terus berusaha. Kita perlu sentiasa menasihati mereka.

“Perkara ini perlu ditangani dengan cara yang lebih berhemah agar anak terus mendapat galakan untuk berusaha dan percaya kita (ibu bapa) sentiasa di sisi untuk terus meningkatkan pencapaian diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi tip kekeluargaan pada Majlis Program Motivasi Ibu bapa dan Pelajar Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 2, di sini kelmarin.

Menurutnya, sikap sentiasa memarahi anak-anak yang kurang cemerlang dalam peperiksaan tidak membantu meningkatkan potensi mereka malah boleh melemahkan semangat anak-anak.

“Sebagai ibu bapa kita juga kena memahami anak-anak bahkan perlu bantu mengenali potensi yang ada dalam diri mereka. Sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak kerana cara itu mampu memberikan impak positif dalam peningkatan pembelajaran mereka.

“Apabila mereka kenal diri dan ada target dalam pembelajaran Insya-ALLAH mereka mudah memilih jalan untuk maju di masa hadapan,” katanya.

Dalam program tersebut, Adun Kuala Sentul itu turut berkongsi pengalaman beliau sebagai ibu, isteri, wakil rakyat dan ahli Exco sebagai motivasi kepada pelajar supaya tidak menjadikan kesibukan alasan untuk terus maju.

Shahaniza berkata, para pelajar juga dinasihatkan untuk tidak selalu membandingkan diri dengan orang lain kerana sikap sedemikian hanya akan melemahkan diri .

“Jadikan kebolehan dan kejayaan orang lain sebagai cabaran untuk kita lebih berdaya saing. Remaja tidak boleh lari dari konflik kerana pada usia ini mereka tercari-cari identiti dan keistimewaan diri.

“Saya mahu anak-anak kenal diri dan cari keyakinan diri. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mesti tahu ke mana hala tuju anda,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Jengka 2, Mohd Abdul Razif Abdul Razak berkata, pihak sekolah sentiasa optimis menjalankan pelbagai aktiviti untuk memaksimumkan usaha membantu pelajar menghadapi peperiksaan.

“Kita menjalankan program sehari satu subjek. Hari ini (kelmarin) selepas tamat majlis para pelajar akan ikuti bengkel mata pelajaran selepas waktu sekolah.

“Cabaran pihak sekolah sebenarnya adalah kehadiran pelajar ke sekolah. Saya ambil peluang ini berpesan kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak ke sekolah sebagai persediaan sebelum periksa,” katanya.


0 comments:

share2