Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), hari ini melancarkan Friends Of KPDNKK (FOK) Peringkat Negeri Pahang bertempat di Dewan Sri Mentakab, di sini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia juga bertujuan menggalakkan penyertaan orang ramai yang juga pengguna untuk menjadi mata dan telinga KPDNKK untuk mengatasi aktiviti-aktiviti kurang sihat yang dijalankan oleh segelintir peniaga.
"Pahang adalah destinasi ke 11 dalam siri penjelajahan ke seluruh negara untuk memastikan pengguna sentiasa terbela dan dilindungi hak-hak mereka dari kegiatan kurang sihat oleh segelintir peniaga yang tamak.
"Kegiatan seperti menyorok barangan jualan, pencatutan, penyeludupan serta aktiviti-aktiviti lain bukan sahaja melanggar undang-undang malah merugikan pengguna serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Hamzah berkata, majlis pelancaran ini dilaksanakan Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Sekretariat Hal Ehwal Pengguna Wanita Umno Negeri Pahang dengan kerjasama Skuad SMART Pengguna 1Malaysia yang bertujuan untuk memperkasakan suara pengguna.
Katanya, sehingga hari ini jumlah keanggotaan yang berdaftar sebagai ahli FOK ini adalah seramai 800,000 dan jumlah ini akan ditambah supaya suara pengguna akan dilindungi serta mempertahankan hak-hak pengguna.
Beliau berkata, Pahang berjaya memenuhi sasaran (KPI) dari segi keahlian FOK dengan mencatatkan seramai 45, 038 ahli.
Katanya, setiap kawasan Parlimen berjaya melepasi sasaran masing-masing dengan jumlah yang besar.
0 comments:
Post a Comment