Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 5, 2017

[TEMERLOH] PENGELUARAN PATIN TERJEJAS


Pengeluaran patin Temerloh terjejas


Pengeluaran ikan sangkar di daerah ini terjejas sejak dua tahun lalu dipercayai berikutan keadaan air sungai tidak menentu sekali gus menyebabkan bekalan ikan tidak mencukupi.

Malah keadaan itu turut memberi kesan terhadap pendapatan penternak yang mendakwa tiada penyelesaian dalam jangka masa pendek,

Penternak, Abdul Rahim Ismail, 53, berkata, sebanyak 40 sangkar ikan patin dan tilapia diternaknya sejak 15 tahun lalu semakin kekurangan hasil setiap kali musim tuaian.

“Sebelum ni saya masukkan kira-kira 1,000 hingga 1,500 benih ikan ke dalam setiap sangkar dengan anggaran tuaian boleh mencapai sehingga 600 kilo (kilogram) satu musim.

“Tapi, sejak banjir besar pada 2014 dan kemarau panjang pada 2015 dan 2016 pendapatan menyusut disebabkan hasil tuaian hanya berjaya diperoleh sebanyak 400 kilo setiap sangkar.

Menurutnya, keadaan air sungai yang dahulunya kedalaman mencecah 2 meter mula berubah selepas banjir besar itu.

“Sekarang ni kedalaman air lebih kurang 1.5 meter saja dan keadaan ini semakin teruk bila tiba musim kemarau sebab ikan yang diternak semakin sukar untuk terus hidup,” katanya ditemui di Kampung Pangsenam antara lokasi ternakan ikan terbesar di daerah ini, semalam.

Tuaian semakin berkurangan

Abdul Rahim berkata, faktor cuaca dan air sungai Pahang yang tidak menentu mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan ikan kerana tuaian semakin berkurangan.

“Saya sampai terpaksa jual sendiri hasil ikan diternak untuk dapatkan jualan runcit pada kadar harga RM17 sekilo.

“Kalau hasil ternakan saya banyak, boleh juga ditolak kepada peraih dengan harga RM12 sekilo tapi disebabkan hasil sikit saya terpaksa jual sendiri untuk menampung kos yang semakin meningkat,” katanya.

Abdul Rahim berkata, tidak ada cara atau kaedah terbaik untuk memastikan hasil ikan kembali banyak seperti dahulu kerana faktor utama kekurangan bekalan adalah disebabkan cuaca dan air sungai.

“Kebiasaannya, kalau musim cuti sekolah saya boleh raih jualan sehingga RM15,000 tetapi sekarang ni hanya dapat RM3,000 sahaja disebabkan kekurangan bekalan sedangkan permintaan sangat tinggi," katanya.

Sementara itu seorang lagi penternak Mohd Zahran Ishak, 23, berkata, pengeluaran ikan bagi setiap sangkar jatuh teruk iaitu sebanyak 300 kilogram (kg) sahaja berbanding sebelum ini mampu mencecah 800 kg bagi satu sangkar.

“Saya berhadapan kesukaran untuk bekalkan ikan kepada pelanggan tetap di seluruh negara disebabkan bekalan ikan patin yang berkurangan ketika ini.

“Saya memerlukan dua tan seminggu bekalan ikan untuk dihantar ke Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain tapi dengan jumlah ikan yang terhad ketika ini saya jangkakan hanya mampu bertahan untuk sebulan saja lagi.

“Faktor kekurangan bekalan antaranya berpunca daripada sangkar ikan milik saya yang musnah akibat banjir besar dulu. Ketika itu sebanyak 70 sangkar musnah dan sekarang hanya ada 80 sangkar ikan saja, yang mengeluarkan hasil,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,200 hingga 1,500 benih ikan patin dan tilapia dimasukkan ke dalam setiap sangkar dan ia melibatkan pemberian 70 beg jumlah makanan.

“Peratusan hidup semakin jatuh daripada 70 peratus kepada hanya 40 peratus ketika ini tanpa diketahui apa punca sebenar. Mungkin faktor perubahan air atau suhu yang menyebabkan jumlah ikan hidup semakin berkurangan.

“Kami harapkan ada kajian kualiti air dibuat pihak berwajib supaya masalah yang melanda penternak dapat diatasi segera seterusnya dapat menyelamatkan industri ikan sangkar Temerloh,” katanya.

Akui pengeluaran ikan sangkar menurun

Sementara itu, Jabatan Perikanan negeri mengakui jumlah pengeluaran ikan sangkar bagi daerah Temerloh menunjukkan trend menurun sejak kebelakangan ini disebabkan banjir besar dan kemarau yang melanda sepanjang el-nino lalu.

Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, banjir yang berlaku pada 2014 menyebabkan pengeluaran ikan sangkar hanya sebanyak 1,207 metrik tan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 1,463 metrik tan.

“Pengurangan hasil itu disebabkan banyak sangkar ikan rosak atau dihanyutkan arus sewaktu daerah ini dilanda banjir besar penghujung 2013 dan awal 2014.

“Kemudian pada 2015 hasil pengeluaran menunjukkan penurunan lagi kepada hanya 631 metrik tan dan kemudian turun lagi kepada 543 metrik tan pada 2016. Ini disebabkan berlakunya fenomena elnino hingga menyebabkan kemarau yang menyebabkan ramai pengusaha rugi,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun keadaan dijangka pulih semula tahun ini apabila penternak yang terjejas kembali memberi fokus kepada pengeluaran hasil mereka.


0 comments:

share2