Pada era milenium ini, ibu bapa amat menekankan pelajaran anak-anak dan sanggup menghantar mereka ke institut pengajian tinggi (IPT) dengan harapan dapat mendapat taraf pelajaran terbaik dalam suasana yang kondusif demi masa depan.
Namun adakah semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun institut pengajian tinggi swasta (IPTS) mampu menyediakan proses pembelajaran sempurna kepada anak-anak kita? Ya, kita menyedari IPT ada kekurangannya, namun kekurangan ini janganlah sampai menjejaskan proses pembelajaran dan lebih dahsyat lagi, hanya sekadar mahu mengaut untung!
Seorang pensyarah di sebuah IPTS yang hanya mahu digelar Din mendedahkan, dia sudah tidak mampu lagi mendiamkan diri kerana melihat pelajar-pelajarnya tidak mencapai mutu pelajaran yang sepatutnya dan tidak setimpal dengan apa yang dibayar ibu bapa.
Dia mendakwa, barisan pensyarah lain juga telah diberi amaran oleh pengurusan IPTS itu supaya menutup mulut jika tidak mahu diberhentikan serta-merta.
“Saya sudah tidak tahan melihat pelajar pusat pengajian ini yang majoritinya adalah anak-anak Melayu kita diperlakukan seperti itu. Mereka pun selalu mengeluh kepada saya dan pensyarah-pensyarah lain.
“Oleh sebab saya sudah tahan untuk beberapa tahun, saya rasa sudah tiba masanya untuk mendedahkan perkara ini supaya ia menjadi pedoman kepada pusat-pusat pengajian swasta yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, IPT ini terlalu mementingkan keuntungan sehinggakan pihak pengurusan telah mengeluarkan pekeliling yang tidak masuk akal seperti membenarkan pensyarah mengadakan dua atau tiga kali ujian sahaja untuk satu semester.
Menurut Din, ini adalah kerana pihak pengurusan mahu menjimatkan kertas dan jika terpaksa, pelajar hanya boleh menjawab soalan dalam kertas A4.
“Amat tidak masuk akal. Bagaimana kita mahu tahu kebolehan seseorang pelajar jika tidak membuat ujian? Selain itu pensyarah-pensyarah tidak dibekalkan dengan alat tulis dan kertas. Kami selalu mengeluarkan wang sendiri kerana mahu memastikan pelajar-pelajar mendapat ilmu sepatutnya,” katanya.
Katanya, apa yang lebih menyedihkan, bilik kuliah, terutamanya makmal terpaksa menampung sehingga 90 pelajar pada satu-satu masa dan ianya amat menyesakkan kepada pensyarah, apatah lagi kepada pelajar.
“Satu makmal terpaksa digabungkan oleh beberapa kelas. Makmal yang hanya mampu menampung 40 pelajar terpaksa disumbat lebih ramai pelajar. Ia mengganggu proses pembelajaran dan pelajar menjadi tidak selesa.
“Selain itu, peralatan pembelajaran juga terpaksa dikongsi oleh ramai dan ia melambatkan lagi proses ini. Pensyarah terpaksa mengulangi banyak kali. Kekurangan ini sudah diberitahu kepada pihak pengurusan, namun tiada tindakan diambil,” katanya.
Perpustakaan ada, tapi...
Sementara itu, seorang lagi pensyarah yang mahu digelar Lan berkata, IPT ini mempunyai perpustakaan, namun ia tidak berfungsi dengan sepatutnya.
Dia mendakwa, perpustakaan ini hanya tinggal nama kerana buku-buku rujukan yang disediakan amat tidak mencukupi bagi menampung lebih daripada 1,000 pelajar.
“Bayangkan, pelajar ini ambil kursus kritikal. Ada empat rak buku, tetapi dua rak kosong. Dua lagi rak yang ada pun hanya ada beberapa buku sahaja. Ramai pelajar mengeluh tapi tiada tindakan dilakukan.
“Sebagai pusat pengajian tinggi, perkara ini tidak sepatutnya berlaku, namun ia berlaku juga. Bagaimana anak-anak kita mahu belajar di pusat pengajian tinggi seperti ini?,” keluhnya.
Ditanya bagaimana pensyarah-pensyarah di pusat pengajian tinggi ini menangani isu sebegini, Lan akui mereka terpaksa cetak semula buku-buku rujukan dan menjual kepada pelajar-pelajar.
“Itu sahaja jalan yang ada kerana buku yang ada amat tidak cukup. Kami terpaksa mencetaknya semula dan pelajar membelinya.
"Jika tidak buat begitu, buku rujukan tidak ada dan ia menyukarkan lagi kepada pelajar dan pensyarah,” katanya.
Selain itu, Lan turut mendedahkan, penghawa dingin di bilik-bilik kuliah dipaksa ditutup dengan alasan untuk menjimatkan kos. Katanya, para pelajar terpaksa menghadiri kuliah dan mengadakan ujian dalam keadaan yang tidak selesa.
“Kalau betul penghawa dingin rosak, tidak mengapa tapi alasan mahu menjimatkan kos sehingga pelajar dan pensyarah jadi tidak selesa amat tidak logik.
"Bagaimana nak belajar kalau keadaan tidak selesa? Sudahlah bilik kuliah ada beberapa tingkap sahaja, pengudaraan tidak baik dan amat tidak selesa,” katanya.
Jelasnya lagi, pusat pengajian tinggi ini kekurangan satu kemudahan yang amat penting iaitu ketiadaan pusat sukan.
“Kami tiada pusat sukan, sedih bukan?,” soalnya ringkas.
Katanya lagi, surau di pusat pengajian ini amat kecil dan tempat untuk mengambil wuduk pun tiada.
0 comments:
Post a Comment