Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 4, 2017

[TEMERLOH] KURANG PENGLIBATAN ANAK MUDA


Kurang penglibatan anak muda


Kebanyakan golongan belia lepasan institusi pengajian tinggi dilihat rela menunggu atau mencari kerja dalam sektor awam dan swasta berbanding menceburi sektor pertanian dan ternakan.

Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Temerloh, Shaharudin Ahmad berkata, ia berikutan masih ramai belia tidak menyedari pertanian adalah satu bidang kerjaya yang mampu memberi kekayaan kepada mereka jika diusahakan dengan cara betul.

“Memang ada golongan belia yang berjaya dalam industri pertanian dan membuktikan bahawa pertanian itu adalah satu perniagaan yang menguntungkan. Bagaimanapun angka dan peratusan penglibatan belia dalam bidang ini masih belum mencapai tahap yang memberangsangkan.

“Kerajaan memandang serius perkara ini dengan menawarkan insentif dan untuk menjadikan bidang ini bernilai kepada golongan belia," katanya kepada Sinar Harian di pejabat MBD di sini semalam.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia baru-baru ini meluluskan geran Agroprenuer Muda berjumlah RM760,000 kepada 39 peserta pertanian di Temerloh.

“Jumlah peruntukan geran tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang disediakan oleh pihak kementerian bagi melahirkan 3,000 usahawan tani yang berusia dari 18 hingga 40 tahun.

“Melalui geran tersebut, golongan belia dapat berusaha dengan lebih giat untuk mempertingkatkan produktiviti dalam sektor pertanian dan ternakan sekali gus menjamin masa depan yang lebih cerah," katanya.

Shaharudin berkata, usaha kerajaan untuk menggalakkan anak muda yang mempunyai potensi tinggi menceburi sektor pertanian dan ternakan harus dipuji sebagai langkah optimis.

“Usaha ini sudah tentu untuk melahirkan Agroprenuer Muda berjaya dan mengurangkan kadar pengangguran golongan belia dalam negara dan golongan belia yang menceburi bidang ini harus dipuji.

“Ini kerana mengambil satu keputusan berani menggunakan ilmu dan kemahiran serta teknik-teknik moden untuk berbudi kepada tanah tanpa mengambil kira tanggapan negatif sesetengah pihak yang memandang rendah terhadap kerjaya ini,” katanya.

Beliau berkata, jiwa golongan muda perlu dipupuk dalam dunia pertanian dan ternakan kerana hasilnya membantu negara menangani tahap pergantungan yang tinggi terhadap import makanan.

“Hal ini juga dapat mewujudkan keseimbangan menerusi pengeluaran domestik yang sekali gus dapat menangani krisis bekalan dan harga," katanya.


0 comments:

share2