Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 24, 2017

[ROMPIN] ‘TAK PEDULI APA ORANG KATA'


‘Tak peduli apa orang kata’


Rasa seronok menggayakan pakaian yang diperbuat daripada kain Jalur Gemilang, seorang peniaga air di Pasar Tani Bandar Rompin tidak mempedulikan apa pandangan masyarakat sekeliling.

Biarpun begitu, setakat ini masih tiada sesiapa melontarkan kata-kata negatif kepadanya sebaliknya memberikan pujian sekali gus menjadikan dirinya lebih bersemangat.

Mula berniaga kira-kira 20 tahun lalu, penduduk Simpang Sepayang, Husin Ismail, 53, idea untuk menzahirkan semangat kemerdekaan melalui hiasan gerai dan pakaian itu lahir sekitar enam tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu beliau bersama isterinya, Saliani Mohamed, 40, yang turut berniaga laksa memakai apron yang diperbuat daripada kain bendera Malaysia.


Husin sentiasa mendapat sokongan daripada isteri dan anaknya untuk memperagakan pakaian sempena kemerdekaan.


Katanya, walaupun tiada pertandingan sempena bulan kemerdekaan, dia tetap akan melakukannya kerana berasa seronok dan secara tidak langsung mewujudkan suasana ceria ketika berniaga.

“Merdeka kali ini saya pakai kurta diperbuat daripada bendera Malaysia pula, saya minta kawan jahitkan petang Ahad lalu dan esoknya dia dah siapkan, saya pujuk supaya dia siapkan cepat sebab tak sabar nak pakai masa berniaga di Pasar Tani Rompin, semalam (kelmarin).

“Kurta itu pula saya kenakan dengan tengkolok juga diperbuat daripada bendera Malaysia yang saya buat sendiri,” katanya.

Dia yang juga berniaga di Pasar Malam Tanjung Gemok dan Pasar Minggu Kuala Rompin itu setakat ini memiliki dua tengkolok serta satu songkok tinggi yang kesemuanya adalah buatan sendiri.


Husin juga pernah berjalan di sepanjang Pasar Minggu Kuala Rompin dengan memakai pakaian dan tengkolok Jalur Gemilang sambil menggalas bekas air.


Walaupun tidak sempurna seperti dibuat oleh tukang yang mahir, dia langsung tidak berasa segan kerana merasakan ia adalah untuk diri sendiri, bukan orang lain.

“Setakat ini tiada lagi orang lekehkan tetapi mereka puji dan kata cantik, lagi lah saya rasa bersemangat nak bergaya hinggakan pernah saya bawa bekas air gantung pada badan keliling pasar minggu dengan pakaian merdeka, orang suka sambil tu beli air saya,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi kisah semangatnya yang tinggi itu, dia berkata, ia didorong ingatan terhadap perjuangan orang-orang terdahulu dan kesusahan mereka yang hidup pada zaman penjajah termasuk ibu bapanya.



Husin bersama Saliani dan anak lelaki mereka, Ahmad Adib, 8.


Katanya, jika kemerdekaan tidak diisi atau disambut dengan sambil lewa, ia seolah-olah melupakan orang-orang terdahulu itu.

Sementara itu, Saliani yang ditemui mengakui berasa bangga dan seronok dengan gelagat suaminya itu serta menggalakkan lagi apa yang dibuat demi semangat merdeka.

“Bila masuk bulan merdeka orang tak buat tapi dia buat, suami saya jenis yang suka buat perkara pelik, kalau orang puji lagi lah menjadi-jadi,” katanya.


0 comments:

share2