Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 6, 2017

PROJEK HOSPITAL MARAN PERLU DISEGERAKAN


Projek Hospital Maran perlu disegerakan


Projek pembinaan Hospital Maran dan Dewan Pekan Tajau, Simpang Jengka perlu disegerakan kerana ia merupakan dua projek yang sememangnya diperlukan penduduk Maran.

Ahli Parlimen Maran, Dato' Sri Ismail Muttalib berkata, pembinaan Hospital Daerah Maran berharga RM150 juta itu akan bermula awal tahun depan di atas sebidang tanah seluas 20 hektar di laluan Batu 55 Jalan Maran ke Jengka Mukim Luit.

Manakala katanya, pembinaan Dewan Pekan Tajau melibatkan pembinaan dan baikpulih struktur bangunan sedia ada di mana fasa awal ini, beliau akan menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya untuk berunding supaya projek dewan itu dapat disegerakan.

"Memang wajar kedua projek ini disegerakan kerana ia sangat diperlukan penduduk Maran. Hospital adalah untuk beri rawatan kepada warga Maran, manakala dewan pula untuk pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan dan ia adalah sama-sama penting.

"Saya berharap tiada lagi pihak yang akan mempertikai serta mempolitikkan pembinaan hospital baharu daerah Maran dan pembinaan dewan baharu Tajau bagi menggantikan dewan lama tersebut," kata Ketua Umno Bahagian Maran itu.

Beliau berkata, peruntukan segera berjumlah RM3 juta untuk dewan tersebut telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantikan dewan lama yang sudah uzur semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Maran, Ahad lalu.

Sementara itu, pembinaan hospital berkapasiti 76 katil itu akan bermula tahun depan dan kontraktor yang dilantik bertanggungjawab menyiapkannya mengikut jadual bagi memudahkan penduduk.

"Apa pun diharap peruntukan diumumkan Perdana Menteri itu tiba dalam tempoh terdekat ini supaya segala yang dirancang dapat disegerakan dan tiada lagi kisah yang dijajakan pembangkang bagi memburukkan kerajaan.

"Minta selepas ini tiada lagi pihak yang mempolitikkan kedua projek tersebut kerana bukan mudah untuk mendapatkan sesuatu projek dan peruntukan, tetapi kita kenalah bersabar serta memberikan kerjasama dan kepercayaan kepada kerajaan.

"Kita boleh mengkritik atau mempolitikkan jika perkara itu tidak benar, tetapi jika sudah janji ada peruntukan dan akan dibina seperti hospital ini, maka tiada sebab lagi kita bimbang dan ragu," katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu tunggu dan bersabar kerana kedua projek tersebut akan tetap dibina sebagaimana jadualnya.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan rakyat adalah terus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional yang banyak berjasa kepada rakyat kerana banyak lagi projek pembangunan yang akan dilaksanakan di Daerah Maran ini untuk kepentingan kira-kira 130,000 penduduk.


0 comments:

share2