Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 14, 2017

'PEMETAKAN' KAUM ANCAM PERPADUAN - AHMAD ZAHID


AHMAD ZAHID HAMIDI  bersama Samsudin Abu Hassan (depan, tiga dari


Tapah – Perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini dipisahkan dengan sentimen ‘pe­metakan’ oleh pihak tertentu mirip dasar ‘pecah dan perintah’ oleh penjajah di zaman sebelum kemerdekaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sentimen yang bertujuan mengasingkan masyarakat majmuk di negara ini sepatutnya tiada lagi setelah negara 60 tahun merdeka.

Sebaliknya menurut beliau, apa yang perlu diamalkan adalah komunikasi silang budaya iaitu saling memahami dan menghormati perasaan antara kaum di negara ini.

“Sepatutnya tidak berlaku lagi kerana sudah ditentukan Malaysia rakyatnya berdasarkan kepada masyarakat majmuk di mana kita merasakan kemajmukan ini harus dipertahankan dengan penuh keharmonian.

“Harus juga ditanamkan sifat komunikasi silang budaya supaya kita memahami perasaan orang Cina, India dan Orang Asli dan pada waktu sama mereka juga memahami perasaan orang Melayu.

“Inilah yang harus dipraktikkan agar keharmonian yang cuba dipetak-petakkan semula ini dapat dihapuskan. UMNO sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) adalah pemangkin kepada komunikasi silang budaya untuk mewujudkan keharmonian yang kekal dalam masyarakat maj­muk di Malaysia,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di Dewan Merdeka di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua UMNO bahagian, Datuk Samsudin Abu Hassan; Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun; Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan dan Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas Timbalan Presiden parti mengambil contoh kejayaan dan keharmonian BN di Tapah dalam konteks perpaduan dalam kemaj­mukan kaum.

Menurutnya, apa yang menarik dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen masing-masing dimenangi oleh UMNO, MCA dan MIC iaitu DUN Ayer Kuning (Samsudin Abu Hassan), DUN Chenderiang (Hang Soon) dan Parlimen Tapah (Saravanan).

“Ini merupakan contoh yang baik dan membuktikan wakil rakyatnya memainkan peranan cukup baik. Yang penting jentera ketiga-tiga parti membantu untuk memberi kemenangan dan meraih undi di Parlimen Tapah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, terdapat petunjuk bahawa pengundi Cina khususnya di Perak bersikap positif dan perlu akui sokongan kaum itu terhadap BN semakin baik.

Katanya, walaupun BN ‘terpukul’ dengan tsunami pengundi Cina dalam dua pilihan raya umum (PRU) yang lalu, kerajaan tidak menghukum orang Cina sebaliknya terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kaum itu.

“Kita tiada perasaan mahu balas dendam sebab tanggungjawab kita membantu semua kaum. Malah MCA di Perak di bawah Hang Soon akan memberikan harapan baharu kepada pengundi Cina di negeri ini,” katanya.


0 comments:

share2