Kota Bharu - Pas menganggap keputusan terlewat Pakatan Harapan di sebalik menagih harapan dalam menentukan kerjasama dengan parti itu tidak mengejutkan mereka.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pendirian Pas untuk tidak bersama dengan Pakatan Harapan sudah lama dimuktamadkan dan bukan perkara baharu.
Menurutnya, bukan soal Pas tidak termakan pujuk dengan usaha pakatan tersebut untuk jalinkan kerjasama tetapi itu memang keputusan parti sejak dahulu dan mereka sedia maklum penyebabnya adalah DAP dan Amanah.
“Pas sejak dari dahulu lagi tiada hasrat bekerjasama dengan Pakatan Harapan, sebelum ada (Tun Dr Mahathir Mohamad) Tun M pun kita dah buat keputusan tidak ada kerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Jadi tidak berbangkit soal Pakatan Harapan buat keputusan (tiada kerjasama) sebab kita dari awal lagi sudah putuskan. Itu kena jelas,” katanya ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.
Setelah isu kerjasama antara Pas dan Pakatan Harapan tidak menemui jalan untuk bersatu, akhirnya pakatan tersebut memutuskan tidak akan bekerjasama dengan parti itu pada PRU14 nanti.
Dalam masa sama, Mohd Amar juga menegaskan sejak tidak lagi bersama dengan DAP dan Pakatan Rakyat terkubur, Pas katanya sudah membuat persiapan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru atau sebaliknya nanti.
0 comments:
Post a Comment