Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 30, 2017

LPT2 TAWAR REBAT TOL 50 PERATUS


sad


Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) menawarkan rebat tol sehingga 50 peratus pada 30 Ogos ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan perayaan Hari Raya Aidil Adha.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Azman Ismail berkata, rebat 50 peratus yang ditawarkan buat semua kenderaan kelas satu tersebut adalah hanya untuk transaksi tol menerusi kad Plus Miles, Touch 'n Go dan Smart Tag yang melebihi jarak perjalanan 100 kilometer di LPT2.

“Selain untuk menyambut perayaan, pelaksanaan ini juga adalah sebagai tanda penghargaan atas sokongan pengguna lebuh raya atas inisiatif transaksi tol secara elektronik yang laksanakan oleh LPT2 pada 14 Ogos baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Kenderaan Rondaan oleh LPT2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diadakan di Persada Plus, di sini semalam.

Secara spesifiknya, Azman memaklumkan bahawa pengguna masih perlu membayar tol dengan kadar biasa memandangkan rebat 50 peratus tersebut akan dimasukkan ke kad Plus Miles atau Touch 'n Go dalam bentuk tambah nilai.

Katanya, orang ramai boleh membuat penebusan rebat tersebut di plaza tol LPT2 terpilih atau Pusat Khidmat Pelanggan Plus antara 15 September sehingga 14 Disember ini.

“Jadi pengguna ada masa tiga bulan bulan untuk tebus rebat mereka yang akan diberikan dalam bentuk tambah nilai bersempena dengan tawaran ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memudahkan polis untuk melaksanakan tugas sepanjang musim perayaan ini, Azman berkata, pihak LPT2 turut menyediakan pejabat untuk unit peronda lebih raya di Plaza Tol Ajil dan Plaza Tol Kijal.

Beliau berkata, LPT2 mempunyai matlamat untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya terbaik agar semua pengguna dapat menikmati perjalanan lebih lancar dan selesa.

“Dengan penyerahan kenderaan rondaan ini, kami percaya ia akan dapat memberikan impak positif terhadap keselamatan dan keselesaan semua pengguna di LPT2 kelak,” katanya.

Dalam majlis terbabit, LPT2 telah menyampaikan dua unit kereta peronda Mitsubishi GT Lancer 2.0L kepada unit EMPV Cawangan Trafik Bukit Aman untuk tujuan rondaan.

Mengulas lanjut mengenai pemberian itu, Azman berkata PDRM memainkan peranan besar dalam membantu menangani isu-isu berkait rapat dengan operasi LPT2 seperti isu pemotongan dan kecurian pagar di lebuh raya ini.

“Selain itu, PDRM juga turut mengadakan operasi pencegahan jenayah, pencegahan vandalisme, operasi bersama mencegah penyalahgunaan lorong kecemasan serta operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain.

“Saya percaya sumbangan ini adalah tepat pada masanya memandangkan LPT2 bakal digunakan oleh puluhan ribu kenderaan menjelang cuti umum nanti,” katanya,

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan LPT2 bakal mencatatkan peningkatan trafik melebihi 100 peratus pada musim perayaan ini berbanding jumlah kenderaan pada hari-hari biasa.


0 comments:

share2