Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 19, 2017

TIADA ARAHAN MURID CUTI KALAU CIKGU LUAR KAWASAN


Mahdzir Khalid


Putrajaya - Pemberitahuan untuk 'merehatkan’ murid atas alasan guru bertugas di luar kawasan sekolah seperti yang dikeluarkan sebuah sekolah di Ampang, Selangor bukan arahan Kementerian Pendidikan, kata Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas pengedaran surat pemberitahuan di media sosial yang memaklumkan murid kelas peralihan, darjah satu dan dua bagi sesi pagi dan petang direhatkan pada 18 dan 19 Julai kerana sebahagian guru terlibat dengan taklimat petugas pilihan raya, Mahdzir berkata pemberitahuan itu disediakan secara 'pandai-pandai' oleh pengetua atau pihak sekolah berkenaan.

Beliau berkata penglibatan guru dalam taklimat seperti dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) adalah biasa dan tidak memerlukan murid direhatkan.

"Kita akan lakukan siasatan dalaman tetapi yang pasti arahan sebegitu tidak boleh dibuat sama sekali," katanya ketika ditemui pada majlis mesra Aidilfitri kementeriannya di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri kabinet.

Mahdzir berkata kebiasaannya sekolah hanya perlu melaporkan hal itu kepada PPD dan ketiadaan guru terbabit bagi kelas pengajarannya perlu diganti oleh guru lain.

"Jadi, pemberitahuan bahawa murid direhatkan dua hari adalah tidak betul dan menyalahi praktis yang diamalkan sejak sekian lama," katanya.


0 comments:

share2