Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 20, 2017

‘SIAPALAH SAYA TANPA FELDA'


Othman Aziz


Putrajaya - Kesukaran hidup yang pernah dilalui sewaktu kecil menjadi pemangkin buat Datuk Othman Aziz untuk berjaya, sehingga akhirnya bergelar anak generasi kedua Felda yang pertama menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan 1.

Di sebalik kedudukan beliau kini, anak kedua daripada tujuh beradik dari Felda Lubuk Merbau Kedah itu, berjaya membuktikan kemiskinan tidak menjadi penghalang seseorang itu berjaya.

Baginya, lebih penting adalah sikap tidak mudah mengalah, rajin dan sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan.

Berkongsi liku kehidupan dilaluinya sewaktu kecil sempena Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini, Othman berkata, keluarganya berpindah ke Felda Lubuk Merbau pada 1970-an ketika usianya 11 tahun.

Berasal daripada keluarga miskin di Jerlun, penghijrahan keluarganya ke Felda membawa taraf kehidupan keluarganya ke arah lebih baik, dengan pelbagai kemudahan disediakan Felda pada ketika itu, iaitu rumah dan tanah yang perlu diusahakan. 

Menurut Othman, kehidupan yang sukar waktu itu menjadikan dirinya seorang yang tidak malu untuk bekerja dan mempunyai kelangsungan hidup yang tinggi.

“Kalau berharap wang bulanan RM69.90 pada setiap keluarga ketika itu, kita tidak akan pergi jauh.

"Jadi pada waktu cuti sekolah, saya ambil upah ‘menarah’ lorong di kebun getah dengan bayaran RM6 sehari.

“Di sebelah petangnya pula, saya akan kutip kacang untuk bantu ayah,” katanya.


Nekad jadi pengurus

Namun katanya, satu peristiwa yang berlaku ketika usianya 13 tahun, mengubah perspektif dirinya untuk lebih berusaha dan berjaya.

“Saya ambil upah isi anak pokok getah di dalam polybag dengan bayaran 5 sen setiap satu. Secara keseluruhannya, saya berjaya isi 1,500 polybag dan menjangkakan upah yang saya peroleh RM75.

“Tapi ketika pembayaran pada hujung bulan, nama saya tak dipanggil, menyebabkan saya tak puas hati.

"Sejak itu, saya nekad dan berazam, satu hari nanti saya akan kembali dan menjadi pengurus kepada kamu semua,” katanya.

Kata-kata itu akhirnya berjaya dibuktikan apabila beliau berjaya menjadi Penolong Pengurus Estet di Sime Darby Plantation di Sabah selepas melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selepas itu, Othman menyambung semula pengajiannya di peringkat sarjana selepas dipujuk ayahnya.

“Ayah rayu saya sambung pengajian dan akhirnya saya setuju. Saya anggap ayah sebagai seorang mentor kerana ayah sentiasa meletakkan pendidikan keutamaan kepada anak-anak,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, adik-beradiknya yang lain turut terinspirasi dengan kejayaannya dan mengikut jejak langkahnya ke menara gading.

“Daripada tujuh beradik, lima daripada kami berjaya menjejak kaki ke universiti,” katanya.


Ambil inisiatif ubah kehidupan

Menurut Othman, sebagai generasi kedua Felda, jasa dan sumbangan agensi yang dicetuskan oleh Tun Abdul Razak itu untuk membantu golongan Bumiputera seperti keluarganya begitu besar ertinya.

“Tanpa Felda, saya tak akan berada di sini. Siapalah saya tanpa Felda. Saya amat terhutang budi dengan Felda.

"Felda mengajar saya menjadi orang yang kuat, berdisiplin dan mempunyai kelangsungan untuk hidup demi melakukan yang terbaik,” katanya.

Justeru, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berharap generasi Felda kini mengambil inisiatif untuk mengubah kehidupan dengan bekerja lebih kuat tanpa meletakkan kebergantungan 100 peratus kepada Felda semata-mata.

“Hari ini Felda sediakan pelbagai kemudahan, tetapi sekiranya inisiatif ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya, tak jadi juga. Maka kesusahan yang dihadapi itu masih berterusan.

“Masalahnya, kita terlalu berharap dengan kerajaan.

"Maka inisiatif untuk berjaya perlu datang daripada keluarga itu sendiri,” ujarnya yang mahu generasi kedua dan ketiga Felda berusaha tanpa mengharapkan kebergantungan terhadap kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, kemajuan yang dicapai Felda hari ini amat membanggakan.

“Felda telah meletakkan landasan yang cukup baik dan telah berjaya melalui transformasi dilakukan.

"Sekiranya kita tidak berjaya, itu bukan kerana Felda, sebaliknya kerana diri sendiri. 

"Generasi kedua dan ketiga ini perlu melihat diri sendiri dahulu, jangan salahkan orang lain,” katanya.

Bertemakan ‘Bakti Disemai, Bukti Dituai’, Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang berlangsung tiga hari, sempena sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 akan diadakan di Dataran Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya.

Seramai 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan program berkenaan.


0 comments:

share2