Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 11, 2017

[RAUB] 'IKUTKAN HATI SAYA NAK KERJA'


‘Ikutkan hati saya nak kerja’


Kedua belah kaki yang terpaksa dipotong akibat kencing manis menyebabkan seorang peniaga kedai makan hilang punca pendapatan.

Mohd Azhar Mohd Tahar, 44, dari Pintu Padang, Raub di sini berkata, sejak menghidap penyakit berkenaan, isterinya, Rormuela, 40, banyak membantu menampung perbelanjaan keluarga termasuk empat anak mereka.

Menurutnya, sebagai seorang ketua keluarga dia merasa ralat kerana tidak mampu lagi mencari rezeki untuk keluarganya.

“Sebelum ni kami memang buka kedai makan. Bila saya sakit, isteri sayalah yang uruskan kedai...tu pun isteri beritahu dah tak ramai pelanggan datang.

“Bila dah tak ramai datang, pendapatan pun dah tak cukup. Belanja sekarang pun tinggi, ditambah pula anak saya semua masih bersekolah dan ada yang masuk universiti.

“Anak sulung dan yang nombor dua sedang belajar di Mesir dan juga di UPM. Seorang lagi bakal ambil PT3 dan yang bongsu pula akan ambil peperiksaan UPSR,” katanya.

Mohd Azhar berkata, dengan hanya mengharapkan pendapatan isterinya yang tidak seberapa itu dia terpaksa menangguhkan rawatan susulan.

“Nak pergi hospital tak boleh sebab tiada siapa nak hantar. Isteri tak pandai bawa kereta pula. Sekarang saya hanya bergantung ubat yang beli di luar saja. Tu pun dah cecah RM200.

“Bab makan minum pula memang tak tentu. Saya hanya mampu bersabar. Ikutkan hati saya nak sangat bekerja...tapi apa boleh buat, saya tak mampu dah nak buat semua tu,” katanya.

Sementara itu, abang ipar Mohd Azhar, Abd Manan Ishak berkata, dia terkilan berikutan tidak dapat membantu adik iparnya memandangkan pendapatannya juga tidak menentu.

“Saya harap ada pihak yang prihatin datang bantu. Saya juga mohon ada pihak yang sudi bantunya urus pendaftaran kad pengenalan Azhar.

“Dia dah lama hilang kad pengenalannya. Kalau tak ada IC susahlah, banyak urusan akan tergendala, dia pula tak tahu macam mana nak daftar semula,” katanya.


0 comments:

share2