Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 19, 2017

SKMM TINGKAT PERKHIDMATAN ELAK GANGGUAN TALIAN


Jailani Johari


Kuala Berang - Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meningkatkan perkhidmatan talian telekomunikasi bagi mengelak gangguan sepanjang perayaan Aidilfitri.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata SKMM kini dalam proses untuk mengoptimumkan sistem untuk peningkatan prestasi sistem pemancaran dan pemasangan unit-unit bergerak 'Cellular on Wheel' (CoW), pico BTS, micro BTS, RAN sharing Multiple Operator (RAMO) jenis 2G, 3G, LTE di lokasi-lokasi seperti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), jalan-jalan, lebuh raya dan bandar utama.

"Pasukan kita juga bersiapsiaga dengan peralatan yang cukup bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh perayaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mengulas mengenai urusan pengeposan melalui Pos Malaysia menjelang Aidilfitri, beliau menasihatkan agar pengguna membuat segala urusan serahan surat ataupun parcel sebelum 23 Jun bagi memastikan ianya sampai sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Posmen atau petugas pos adalah hero kerana mereka bertungkus lumus untuk menghantar barangan bagi memastikan ia sampai kepada penerima.

"Sentiasa semak dengan Pos Malaysia tarikh-tarikh penyerahan kerana saya percaya kebiasaan penjual dan pembeli atas talian akan memaparkan tarikh pengeposan parcel terutamanya apabila menjelang musim perayaan di akaun mereka bagi memudahkan urusan pembelian dan pengeposan," katanya.

Mengulas mengenai kewujudan Al-Quran dan Hadis palsu yang ditularkan melalui media sosial, beliau berkata SKMM akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

"SKMM tidak mempunyai kepakaran yang khusus dalam bidang tersebut namun kita akan memberikan bantuan teknikal sekiranya diperlukan.

"Justeru itu, pengguna disarankan agar merujuk kepada aplikasi yang dibangunkan oleh pihak Jakim seperti e-Hadith bagi 'menapis' hadis-hadis yang mencurigakan.

"Dalam masa yang sama, kita juga sedang membangunkan aplikasi berkaitan bagi mempermudahkan semakan keaslian teks Al-Quran melalui kerjasama dengan Jakim," katanya.


0 comments:

share2