Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 19, 2017

IMARAH BULAN RAMADAN


Imarah bulan Ramadan


Sungai Buloh – Warga Mini RTC Paya Jaras mengimarahkan 10 Ramadan terakhir dengan #QuranHour dalam Semarak Ramadan pada Jumaat lalu.

Pengurusnya, Mohd Aliff Mohd Ali berkata, pihaknya yang menganjurkan majlis khatam al-Quran, tahlil dan bacaan doa selamat, turut menyokong kempen Malaysia #QuranHour yang berlangsung hari ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Menurutnya, RTC Paya Jaras julung kali menganjurkan siri tadarus al-Quran untuk orang ramai pada setiap pagi Jumaat sejak 9 Jun lalu.

Katanya, usaha itu mendapat kerjasama daripada penggerak Rumah Ngaji@Sinergi Sidratulmuntaha, Zaleha Mohamad sebagai tenaga pengajar.

“Kebanyakan masyarakat boleh membaca, tapi kurang dari segi penghayatan dan membaca al-Quran sebagai amalan.

“Sebenarnya banyak hikmah dan faedah jika umat Islam mampu baca, faham dan amal al-Quran, malah terdapat doa dalam al-Quran yang boleh diamalkan untuk menjadikan perniagaan lebih berkat.

“Justeru, kempen Malaysia #QuranHour ini dilihat mampu menarik minat masyarakat agar dekati al-Quran dan membudayakannya dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, Zaleha yang juga penganjur Semarak Ramadan berkata, konsep tadarus memberi peluang kepada peserta membaca al-Quran dan disemak oleh guru serta rakan-rakan.

“Melalui aktiviti bertadarus ini, peserta dapat memperbaiki bacaan secara mudah dan mengikut tahap kemampuan masing-masing.

“Ilmu hukum tajwid dan makhraj turut dikongsi dengan peserta. Pendekatan tadabbur dan tazakkur turut membantu peserta memahami dan mengamalkan daripada isi kandungan al-Quran,” katanya.

Program Semarak Ramadan itu turut dimeriahkan dengan penyertaan 30 pelajar Maahad Tahfiz At-Taqwa, Kampung Kubu Gajah dan tiga guru pengiring, Borhan Abdul Latif, Altaf Ur-Rehman serta Abidah Hanif.


0 comments:

share2