Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 26, 2017

SELEPAS MANILA, GRABHELI DITAWARKAN DI JAKARTA



Jakarta – Bermula daripada motosikal, kini GrabHeli diperkenalkan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota metropolitan Indonesia tersebut selepas Manila, Filipina.

Syarikat yang beribu pejabat di Singapura dan kini beroperasi di rantau Asia Tenggara itu menjalankan percubaan perkhidmatan terbaharunya di Jakarta sebelum dikomersialkan untuk penumpang yang berkemampuan.

Grab menawarkan perkhidmatan helikopter sebagai alternatif kepada kira-kira 10 juta penduduk Jakarta yang sering terperangkap di dalam kesesakan jalan raya yang disifatkan sebagai antara terburuk di dunia.

Ia juga bersempena dengan ulang tahun kelima syarikat itu pada 5 Jun lalu. Dengan hanya menggunakan aplikasi mudah alih, Grab sebelum ini cuma menawarkan perkhidmatan teksi peribadi sama ada kereta atau motosikal.

Pengarah Pemasaran Grab Indonesia, Mediko Azwar berkata, syarikat itu pada masa ini menawarkan perkhidmatan hanya pada hujung minggu dan bersedia memperluaskannya kepada operasi seharian dalam masa terdekat.

“Kami turut mengkaji keperluan orang ramai, memang terdapat eksekutif korporat yang perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam tempoh segera,” kata beliau lagi yang dipetik oleh media tempatan.

Grab buat masa ini mengirimkan makluman dalam aplikasi kepada pengguna terpilih yang mencatatkan jumlah perjalanan terbanyak sepanjang tahun, untuk menerima tawaran perjalanan eksklusif GrabHeli.




Selama dua hari iaitu 10 hingga 11 Jun, terdapat lapan penerbangan GrabHeli yang disediakan setiap hari mulai jadual pukul 2.15 petang hingga 5:45 petang waktu tempatan dengan maksimum empat penumpang.

Azwar berkata, setakat ini perkhidmatan GrabHeli masih di peringkat awal dan beliau enggan mendedahkan tambang yang dikenakan kepada setiap pelanggannya yang perlu membuat pengesahan tiga hari lebih awal.

Kesesakan jalan raya yang teruk atau disebut macet di Jakarta sering menyebabkan produktiviti menurun berikutan pelbagai urusan terpaksa dibatalkan termasuk mesyuarat penting dan temujanji dengan pelanggan.

Grab merupakan syarikat pertama menawarkan perkhidmatan teksi helikopter di Jakarta, walaupun pesaingnya dari Amerika Syarikat, Uber sebelum ini berura-ura hendak memperkenalkan perkhidmatan yang sama.

Warga Jakarta yang sangat kaya menyewa helikopter untuk memudahkan bergerak sudah menjadi satu kebiasaan. Grab kini beroperasi di enam buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Syarikat itu menawarkan perkhidmatan meliputi kereta peribadi, motosikal dan teksi serta cukup popular dalam kalangan 600 juta penduduk kelas pertengahan di rantau berkenaan.


0 comments:

share2