Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 20, 2017

[ROMPIN] 'NAK BAYAR ZAKAT FITRAH UNTUK 30 TAHUN'


'Nak bayar zakat fitrah untuk 30 tahun'


Walaupun hanya menunggu di sesuatu tempat mengikut kawasan yang telah ditetapkan, tugas menjadi amil zakat fitrah tetap ada cabarannya tersendiri dalam berhadapan dengan ragam masyarakat.

Istimewanya amil zakat fitrah ini adalah mereka akan dicari oleh umat Islam pada bulan Ramadan untuk membayar zakat yang diwajibkan pada bulan itu.

Amil Bandar Kuala Rompin, Khalib Abdul Majid, 42, berkata, selama lapan tahun menggalas jawatan itu pengalaman pada tahun ini agak menarik.

“Baru-baru ini saya ada didatangi seorang lelaki yang saya rasa dia kurang siuman tetapi dia datang bayar zakat fitrah seperti orang normal, selepas selesai dia pergi kemudian datang semula sambil hisap rokok.

“Ketika itu sekitar jam 9 pagi, dia minta izin dengan saya untuk hisap rokok, katanya tak sihat, lama juga saya terpaksa melayan dia bersembang sebelum beredar selepas ada orang lain datang nak bayar fitrah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beberapa hari selepas itu, beliau terkejut kerana didatangi oleh lelaki Orang Asli yang mengakui bukan beragama Islam dan mahu membayar zakat fitrah.

“Dalam kesibukan sebab ketika itu ramai yang nak membayar, saya terpaksa jelaskan bahawa zakat fitrah hanya untuk orang Islam namun dia kata kalau boleh memang nak bayar, dia mungkin rasa nak bayar sebab masa tu ramai orang,” katanya.

Bagaimanapun, pengalaman yang dilaluinya pada Ramadan tahun lalu paling tidak boleh dilupakan.

“Pada saya kes tahun lepas paling besar sebab ada lelaki dalam usia 50an datang nak bayar fitrah untuk 30 tahun (akan datang) sekali gus tetapi bila kata tak boleh...saya kena marah.

“Dia kata saya penipu, saya senyap saja masa tu dan dia naik moto sambil marah-marah sebelum terus pergi,” katanya.

Tiada pengalaman pelik

Dalam pada itu, amil Bandar Muadzam Shah, Bakri Mohamad, 61, walaupun sudah lebih 20 tahun menggalas jawatan itu namun tidak pernah pengalaman pelik dan kerenah seumpama itu.

“Pengalaman saya tiada yang luar biasa, cuma pernah ada yang datang dan tak faham, jadi saya kena beri penjelasan.

“Sebagai contoh pernah ada yang datang nak bayar zakat fitrah orang yang dah lama meninggal dunia, ia tidak perlu kecuali meninggal pada bulan Ramadan sebelum habis solat Aidilfitri pada tahun itu,” katanya.

Bakri (kanan) ketika sesi akad bayaran zakat fitrah yang dibuat oleh seorang penduduk Bandar Muadzam Shah, Wan Bazlan Wan Idris, 43.


Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Cawangan Muadzam Shah, Mohd Hafis Mohd Saad, yang ditemui berkata, zakat fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas diri setiap orang Islam yang berkemampuan dengan syarat-syarat dan kadar semasa RM7 yang ditetapkan oleh Muip.

Menurutnya, antara syarat itu individu yang mempunyai kelebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada 1 Syawal.

“Selain itu, individu yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir Ramadan dan individu yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan.

“Zakat fitrah dikeluarkan pada bulan Ramadan bermula 1 Ramadan sehingga sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri, bayaran perlu dibuat kepada amil yang telah diberi tauliah oleh Muip atau mengikut majlis ugama di negeri terlibat,” katanya.


0 comments:

share2