Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 1, 2017

PERODUA MYVI DIPANDU MELAWAN ARUS


Perodua Myvi dipandu melawan arus


Johor Bahru – Tular di laman sosial video sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu yang dipandu secara melawan arus berdurasi 1 minit 26 saat di Kilometer 34 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kulai, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Plus Malaysia Berhad (Plus), Mohammad Fuad Khusairi berkata, Pusat Kawalan Trafik Plus menerima panggilan daripada pengguna lebuh raya memaklumkan tentang kejadian tersebut kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

“Plus ingin memaklumkan bahawa rakaman video tentang tindakan seorang pemandu yang memandu kenderaannya secara melawan arus di lebuh raya yang disebar dan dikongsikan di media sosial pada ketika ini berkemungkinan berlaku hari ini.

“Berdasarkan rekod, kira-kira jam 8:15 pagi hari ini, Pusat Kawalan Trafik Plus menerima panggilan daripada pengguna lebuh raya memaklumkan mengenai kejadian sebuah kereta dipandu secara melawan arus di lebuh raya di Kilometer 34 di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kulai.

“Sejurus mendapat maklumat tersebut, satu pasukan Plus Ronda telah dikerah untuk segera ke lokasi. Namun begitu, kereta tersebut dipercayai telah beredar sebelum pasukan Plus Ronda tiba di lokasi terbabit,” katanya.

Mohammad Fuad berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut kerana ianya mengundang bahaya dan mengancam keselamatan pengguna lebuh raya.

“Kami secara berterusan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak berkuasa yang lain bagi membendung kejadian ini daripada berulang,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya menghubungi talian bebas tol Plusline di 1800 88 0000 sekiranya terlihat sebarang kejadian yang mencurigakan di atas lebuh raya agar tindakan segera dapat diambil.


0 comments:

share2