Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 24, 2017

PERKONGSIAN DRB HICOM-GEELY MENUJU KEJAYAAN


Najib Tun Razak

Perkongsian antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, yang bakal menyaksikan Proton menjadi hab pengeluaran global model kereta pemanduan kanan Geely, akan membawa pembuat kereta nasional itu ke tahap kejayaan dan masa depan yang terjamin, kata Perdana Menteri DatO' Sri Najib Tun Razak.

“Proton sudah menemui rakan yang paling sesuai.

“Dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran Geely, Proton kini sudah bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya pada majlis pemeterian perjanjian definitif antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely di sini.

Najib yang menyuarakan keyakinan beliau itu, berkata Proton akan mempunyai keupayaan dan sumber untuk pemulihan dan menjadi contoh kejayaan Malaysia, tanpa memerlukan bantuan daripada kerajaan.

Beliau yakin menerusi perkongsian dengan Geely, syarikat yang mempunyai kelayakan, kepimpinan yang komited dan rekod yang sudah terbukti, Proton dapat meluaskan kehadirannya dalam pasaran Asean.

Sebelum itu, Pengarah Urusan DRB Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar mengumumkan perjanjian dengan Geely membabitkan kerjasama dalam tujuh bidang strategik.

"Ini termasuk Proton akan diberikan hak eksklusif ke atas produk dan teknologi terkini Geely di rantau ini, serta akses melepasi pasaran Asia Tenggara dan China.

"Syed Faisal juga berkata Geely akan menjadikan operasi penyelidikan dan pembangunan milik Proton sebagai pusat kecemerlangan mereka di Asean, melengkapkan pelbagai tapak yang sudah mempunyai operasi mereka di seluruh dunia," katanya.

Malaysia juga akan menjadi hab kereta pemanduan kanan Geely di rantau ini, membolehkan kapasiti kilang moden di Tanjung Malim digunakan sepenuhnya, dan mewujudkan peluang baharu pekerjaan untuk penduduk tempatan dan luar negara, katanya.

“Kilang Proton di Tanjung Malim diberikan peluang untuk memasang kereta Volvo jika ada kapasiti,” katanya.

Menerusi perkongsian strategik ini, Najib berkata ia boleh membuka ruang untuk Proton menjadi antara pembuat kereta utama di Asia Tenggara, dan antara eksport terhebat Malaysia ke rantau ini.

“Yang memberi kemenangan kepada Proton, kepada pemilik, untuk ekonomi Malaysia dan bagi beratus ribu rakyat Malaysia yang akan meraih manfaatnya.

“Perjalanan baharu Proton ini merupakan contoh pandangan jauh Malaysia,” katanya dan menambah Proton menghadapi masalah dengan model perniagaannya, dan sentiasa tidak mampan dalam jangka panjang.

Najib juga menolak tanggapan negatif serta kebimbangan tidak berasas terhadap pelaburan asing yang kononnya menjurus kepada hilangnya kedaulatan.

“Ini tidak akan berlaku dalam pemantauan saya. Dalam mana-mana kes, pandangan itu timbul disebabkan mereka tidak faham mengenai ekonomi.

“Menolak FDI (pelaburan langsung asing) kerana salah maklumat dan ada kalanya atas sebab-sebab rasis, hanya akan menyebabkan kemiskinan dan kemerosotan daya saing,” katanya.


0 comments:

share2