Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 16, 2017

MENGISI ROH AL-QURAN DALAM DIRI


Mengisi roh al-Quran dalam diri


Kuala Lumpur - Program tahunan World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour diharap memberi kesedaran kepada umat Islam yang belum memahami al-Quran supaya turut membaca, memahami dan mengamalkannya sekurang-kurangnya sejam sehari.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program itu sebagai permulaan mewujudkan satu gerakan yang membolehkan semua umat Islam memahami al-Quran.

“Kita mahu membudayakan supaya seluruh umat Islam ada roh al-Quran dalam jiwa masing-masing kerana (apabila) umat Islam tidak memahami al-Quran, itulah yang menyebabkan imej kita dilihat tidak cantik dalam kalangan orang bukan Islam,” katanya yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.

Beliau berkata, dengan memahami al-Quran, akhlak umat Islam akan terjaga dan terhindar daripada sebarang perbuatan yang akan menjejaskan nama baik umat Islam itu sendiri.

Katanya, antara faktor menyebabkan pelbagai masalah sosial berlaku pada masa kini berpunca daripada umat Islam semakin jauh daripada al-Quran dan tidak mencontohi akhlak seperti terkandung dalam kitab suci itu.

“Oleh itu, melalui program World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour, kita mahu umat Islam boleh baca, faham, hayati serta amalkan, dan menjadikannya sebagai akhlaknya.

“Ini adalah sesi untuk kita berinteraksi, memahami al-Quran yang bukan hanya satu jam tetapi perlu diteruskan dan diamalkan di mana sahaja sepanjang masa,” katanya.

Beliau yakin, dengan memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran mampu mengubah umat Islam menjadi umat yang berjaya seperti pada zaman kegemilangan umat Islam zaman dahulu.

Program edisi ketiga Malaysia #QuranHour dengan tema Bangsa Berbudi dan Penyayang akan berlangsung sejam bermula jam 12 tengah hari pada 19 Jun ini bersamaan 24 Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

World #QuranHour pula yang memasuki tahun kedua penganjurannya tahun ini akan diadakan pada 9 Zulhijjah, secara kebetulan jatuh pada sambutan Hari Kebangsaan.

Sementara itu, Hussa-muddin berkata, sejak kempen Malaysia #QuranHour di bawah Yayasan Ummah Ikhlas dijalankan, kira-kira 1,000 Rumah Ngaji diwujudkan dengan objektif antara lainnya memberi kelas percuma agar masyarakat celik al-Quran daripada peringkat asas hingga tajwid," katanya.


0 comments:

share2