Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 16, 2017

[KUANTAN] 'SAYA TAK NAK DAH MAIN MERCUN'


‘Saya tak nak dah main mercun’


“Saya tak nak dah main mercun,” demikian kata Muhammad Farish Idrus Syamsul Bahari, 10, yang tercedera di bahagian mata akibat bermain mercun bola di halaman rumahnya di Kampung Belukar di sini, dua hari lalu.

Murid tahun empat yang serik dengan kejadian menimpanya itu turut menasihatkan rakan sebaya agar tidak melakukan perkara sama.

“Saya minta kawan-kawan jangan main mercun... bahaya,” katanya yang masih trauma ketika menerima kunjungan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

Sementara itu, ibunya, Siti Rohaida Melan, 43, berkata, dia mendengar letupan dan seakan percikan pasir melantun kuat ke atas bumbung rumahnya pada hari kejadian.

Menurutnya, dia bergegas keluar untuk melihat kejadian kerana mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa anaknya.

“Saya terkejut tengok mukanya jadi hitam. Abangnya cuci muka Muhammad Farish tapi masa tu dia tak nangis pun.

“Bila saya tanya kenapa, dia kata dia tanam mercun bola besar dalam pasir dan cuba tengok sama ada sumbunya terbakar ke tak, masa dia jenguk tu mercun terus meletup. Mungkin percikan pasir tu masuk ke dalam mata dia.

“Beberapa minit lepas itu, Muhammad Farish mengadu kedua-dua mata tak boleh buka dan barulah dia menangis," katanya.

Melihat keadaan itu, ayahnya, Shamsul Bahari Mohd Nazri, 44, membawa anak keempat daripada tujuh beradik itu ke HTAA untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, doktor mengesahkan anaknya mengalami kecederaan pada bahagian mata, namun ia tidak parah.

Dalam pada itu, Siti Rohaida turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian wakil kerajaan negeri menziarahi anaknya.

“Saya amat hargai sumbangan dan lawatan dato' (Norol Azali),” katanya.

Sementara itu, Norol Azali mengesahkan sudah ada dua kes membabitkan kemalangan mercun di negeri ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata.

Beliau menasihatkan masyarakat supaya memantau penggunaan mercun dalam kalangan anak mereka.


0 comments:

share2