Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 7, 2017

[KUANTAN] MUIP SUMBANGKAN RM3.23 JUTA


Wan Abdul Wahid


Bagi mengimarahkan aktiviti Ihya Ramadhan sepanjang bulan ini, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyalurkan sumbangan sebanyak RM3.23 juta ke seluruh masjid dan surau di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dato' Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, sebanyak 625 masjid dan lebih kurang 2,000 surau menerima sumbangan tersebut bermula 1 Ramadan lalu.

“Bagi program yang bakal dilaksanakan di masjid negeri dan daerah, kita menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 manakala bagi masjid kariah sebanyak RM5,000. Sumbangan yang diberikan majlis itu digunakan khusus bagi menampung setiap program melibatkan Terawih, tadarus dan iftar pada setiap hari.

“Melalui sumbangan tersebut mereka diwajibkan melengkapkan keperluan program seperti moreh dan jamuan berbuka puasa untuk diberikan kepada orang ramai yang hadir ke masjid berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, tidak ketinggalan sumbangan kepada surau yang telah membuat permohonan kepada pihak majlis.

“Sumbangan Muip ini meluas dan kita cuba untuk membantu semua pihak untuk meneruskan aktiviti di masjid dan surau-surau sepanjang Ramadan ini. Sumbangan yang diberikan berkemungkinan tidak mencukupi namun sedikit-sebanyak dapat bantu kekurangan yang ada. Mereka juga sudah ada tabung sendiri dan sumbangan lain selain diberikan pihak Muip,” katanya.

Sementara itu katanya, berbanding peruntukan terdahulu, tahun ini telah diberikan sedikit penambahan disebabkan banyak kos bahan mentah dan sebagainya yang turut meningkat.

“Berbanding tahun lalu, pihak Muip hanya memperuntukkan sekitar RM5,000 bagi masjid negeri dan daerah manakala RM3,000 bagi masjid kariah.

“Bagi tahun ini jumlah dan bilangan masjid juga bertambah namun pihak majlis masih boleh meneruskan sumbangan bagi Ihya Ramadan dalam usaha mengimarahkan lagi masjid dan surau di bulan mulia ini,” katanya.


0 comments:

share2