Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 5, 2017

[KUANTAN] ‘HIDUP MATI SAYA DALAM BECA'


‘Hidup mati saya dalam beca’


Menjadi satu-satunya pengayuh beca yang menawarkan khidmatnya, di daerah ini, kudrat Muhamad Osman, 68, masih kuat mengayuh kenderaan roda tiga itu demi sesuap nasi.

Dia yang lebih mesra digelar ‘Apak’ (Bapak) sudah mengayuh beca selama kira-kira 30 tahun, sejak tahun 80an.

Warga emas yang hidup sebatang kara itu memilih untuk berhijrah dari Endau, Johor ke Kuantan semata-mata untuk bekerja kerana berasakan bandar ini merupakan lokasi sesuai untuk mencari rezeki.

Dia tidak lokek bercerita kepada tentang kehidupan bersama becanya yang kian usang itu.

Muhamad berkata, hidup sebatang kara membolehkan dia memilih ke mana sahaja tempat untuk meneruskan kehidupan.

“Saya sudah lama kematian ibu bapa. Bukan tak nak cari saudara-mara dan tinggal bersama mereka tapi tak tahu di mana nak cari. Lagipun saya tak mahu menyusahkan sesiapa.

“Saya lebih selesa tinggal sendirian, malah dengan hanya jadi pengayuh beca, setakat ini masih boleh sara kehidupan walaupun kadang-kadang hanya cukup makan sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Apak berkata, disebabkan pendapatannya yang tidak menentu, dia memilih untuk bergelandangan kerana tidak mampu menyewa rumah atau bilik.

“setakat ini saya hanya memikirkan hidup dan mati hanyalah di dalam beca ini,” katanya.

Menurutnya, di bulan Ramadan, permintaan untuk menggunakan beca agak menurun berbanding hari biasa.

katanya, tidak ramai yang mahu menggunakan khidmat beca tambahan pula kawasan yang ditujunya agak terhad, hanya sekitar bandar Kuantan berhampiran dengan Pasar Besar dan paling jauh ke Bukit Setongkol.

“Rata-rata orang dah ada kenderaan sendiri. Ada juga yang lebih suka naik bas Rapid atau teksi kerana lebih cepat dan selesa.

“Jadi kebanyakannya saya cuma buat kerja-kerja hantar barang-barang basah restoran di kawasan sekitar dengan upah sekitar RM5 hingga RM15, mengikut keadaan.

“Untuk tambah pendapatan, kadang-kadang saya bantu rakan jaga tandas awam di waktu malam, dapat jugalah upah dalam RM3 untuk semalaman kerana bukan ramai pun yang guna tandas waktu malam,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia seronok menghabiskan masa di dalam beca yang diletakkan bersebelahan Stesen Teksi Pasar Besar Kuantan dan berkesempatan membaca Yasin serta berpeluang menunaikan solat sunat tarawih di masjid sepanjang Ramadan.

“Sama seperti bulan puasa lalu, berbuka bersama rakan-rakan yang sudah dianggap saudara sendiri perkara yang mampu buat kita gembira, jadi setiap hari saya akan pergi ke stesen bas Pokok Buluh, di Jalan Besar untuk ambil juadah berbuka yang diedarkan secara percuma.

“Kemudian, saya akan berbuka bersama-sama rakan di stesen teksi di Jalan Besar, bersebelahan Arkib Mara. Kadang-kadang rakan-rakan juga ada yang sedekah makanan kepada saya. Memang seronok berbuka ramai-ramai,” katanya.

Apak berkata, dia pernah terfikir untuk pulang ke kampung menyambut puasa dan Aidilfitri tetapi sudah tiada sesiapa lagi di sana, membuatkannya mengambil keputusan untuk terus menjalani kehidupan seperti sekarang.


0 comments:

share2