Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 18, 2017

[KUANTAN] DERMAGA DITEMPAH AWAL


Dermaga ditempah awal


Projek perluasan Pelabuhan Kuantan fasa pertama yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada Jun 2018, menunjukkan perkembangan positif melalui penempahan awal dermaga daripada syarikat swasta walaupun masih dalam pembinaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, projek mendalamkan pelabuhan sehingga 18 meter melibatkan kos RM4 bilion itu dijangka mampu menampung kemasukan dan pergerakan terutama kapal-kapal besar.

Katanya, setakat ini dermaga pertama (fasa pertama) sudah menerima tempahan daripada syarikat Alliance Steel (M) Sdn Bhd dari China.

“Dalam usaha menarik lebih banyak kapal besar memasuki pelabuhan tersebut kita membina benteng pemecah ombak sejauh 4.6 kilometer dan dermaga sepanjang satu kilometer yang menelan belanja RM1.5 bilion.

“Walaupun ia masih dalam pembinaan, kita sudah pun mendapat tempahan dan Syarikat Alliance Steel akan menggunakan dermaga pertama sepanjang 400 meter untuk membawa keluar masuk produk mereka.

“Ini merupakan satu gambaran positif dan amat memberangsangkan dalam memastikan pelabuhan ini bukan satu projek gajah putih tetapi ia membawa pembangunan ekonomi kepada negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mendengar taklimat perkembangan projek perluasan Pelabuhan Kuantan, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Tiong Lai turut menggesa pelabur tempatan merebut peluang melalui pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

“Sebelum ini ECER berjaya menarik pelaburan berjumlah RM19 billion dari negara China. Saya yakin dengan pencapaian tersebut dan berharap pelabur tempatan turut tidak melepaskan peluang.

“Saya berharap pelabur tempatan bijak memandangkan segala infrastruktur disediakan kerajaan melalui MCKIP dalam merancakkan lagi pembangunan ekonomi.

“Insentif besar menanti bakal pelabur tempatan antaranya pengecualian cukai selama 15 tahun yang merupakan satu tempoh lama memandangkan sebelum ini hanya 10 tahun sahaja,” katanya.


0 comments:

share2