Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 4, 2017

KECOH AIR BANJIR PATTAYA SEJERNIH KOLAM RENANG



BANGKOK – Netizen Thailand ‘gempar’ susulan foto tular disebarkan menerusi laman Facebook ‘South Pattaya‘ pada 27 Mei lalu yang memaparkan suasana air banjir sejernih bak kolam renang.

Foto unik berkenaan malahan dikongsi lebih 23,000 kali dalam kalangan pengguna media sosial tempatan yang turut melahirkan rasa kagum dengan tahap ‘kebersihan’ air bah di bandar peranginan popular pelancong tersebut.




Kejernihan air banjir itu mengimbas semula peristiwa bencana alam serupa yang pernah dialami Jepun suatu ketika dahulu apabila rakyat negara matahari terbit berkenaan ‘kecoh’ mendapati suasana bah yang cukup tenang bersih!

Keadaan tersebut yang turut menyaksikan sejumlah ikan dapat bebas berenang dalam air banjir sehingga menjadi tajuk berita utama di Jepun sementelahan negara itu memang pun cukup terkenal dengan imej kebersihannya.


Bagaimanapun, cerita kejernihan berkenaan rupa-rupanya adalah tidak benar sama sekali apabila media Thailand mendedahkan gambar sebenar suasana banjir di Pattaya dengan air berwarna keruh akibat limpahan lumpur.


Terbukti gambar tular memaparkan kebersihan air bah di bandar tersebut adalah hasil teknik suntingan kreatif individu tidak bertanggungjawab yang mungkin mahu mencetuskan suasana jenaka dalam kalangan netizen sendiri.


Pattaya yang terletak hanya 148 kilometer dari ibu kota Bangkok atau dua jam pemanduan kereta, sering dilanda bah jika hujan lebat turun agak lama sehingga jalan raya boleh tenggelam dengan mencecah paras 50 sentimeter.

Namun, bayangkanlah jika air banjir berkenaan memang sejernih kolam renang, mungkin akan lain pula ceritanya apabila orang ramai mengambil peluang ‘berpesta’ di kawasan tersebut pula.


0 comments:

share2