Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 5, 2017

[JERANTUT] SAMBUT AIDILFITRI DI GIMNASIUM


Sambut Aidilfitri di gimnasium


Kisah keluarga ini pernah mendapat perhatian apabila mereka hidup bergelandangan dan terpaksa menumpang dalam bilik kecil di sebuah gimnasium.

Bersempena Ramadan ini, sekali lagi Sinar Harian mengunjungi tempat berteduh bapa bersama dua anaknya ini bagi mengetahui perkembangan mereka.

Zulkefli Mamat, 45, ketika ditemui berkata, walaupun masih menumpang di gimnasium Red Corner Muay Thai itu atas ihsan pemiliknya, namun kehidupannya bertambah baik apabila pelbagai bantuan diterima sejak kisahnya disiarkan Sinar Harian.

Menurutnya, dia menerima sumbangan wang zakat RM300 selain bantuan dari Umno Negeri minggu lalu, sekali gus mengurangkan bebannya menampung perbelanjaan harian.

“Saya juga ada ambil upah buat kerja kontrak. Daripada upah itu serta wang bantuan yang diterima dapatlah saya gunakan buat belanja makan anak-anak ketika puasa ini,” katanya.

Menurutnya, Ramadan ini kali pertama dia dan dua anaknya, Siti Hajar, 9, dan Muhammad Haqimie, 8, berpuasa di dalam gimnasium.

“Ramadan tahun lalu dia dan anak-anaknya masih tinggal di sebuah rumah sewa sebelum diminta keluar dan mencari tempat teduh baru. Dengan hanya menetap dalam sebuah bilik kecil, di situlah tempat kami makan, tidur dan solat selain ada bilik mandi terletak bertentangan dengan bilik kami. Dalam gimnasium ini tak ada tempat masak. Jadi, kami kena beli makanan di luar untuk berbuka,” katanya.

Tumpang masak di rumah rakan

Zulkefli berkata, jika tidak makan di kedai rakannya, sebaliknya akan membeli juadah di bazar Ramadan dan berbuka di dalam ruang sempit di dalam bilik yang didiami mereka kini.

“Kakak (Siti Hajar) sangat suka makan nasi ayam golek kalau ke bazar Ramadan. Kalau tak ke bazar, kami akan ke kedai makan," katanya.

Bercerita tentang sahur Zulkefli memberitahu, mereka sekeluarga jarang bersahur dan hanya akan makan untuk berbuka sahaja.

“Kalau tak ada duit, saya akan makan mi segera yang disumbangkan kepada saya oleh pihak tertentu. Memandangkan gim yang kami tumpang ni tak ada dapur, saya akan masak mi segera guna air panas yang dimasak guna cerek elektrik,” katanya.

Menurutnya, dia ada menerima bantuan beras dan makanan dalam tin yang akan diberikan kepada seorang rakannya untuk dimasak dan dinikmati bersama.

“Biasanya saya akan ke rumah kawan. Saya bagi beras dan makanan lain kepada dia. Saya akan bawa anak-anak tumpang masak dan makan di rumahnya,” katanya.

Mahu beli baju raya anak

Bercerita tentang persiapan raya bagi tahun ini Zulkefli berkata, dia amat berharap dapat disediakan pakaian baharu buat dua anaknya itu.

“Saya tak kisah tentang diri saya. Apa yang penting adalah dua anak saya ni. Sebagai kanak-kanak dah tentu mereka nak baju baru. Setakat ni saya masih belum belikan lagi.
“Sekarang saya ada diberikan kerja dan dibayar upah. Saya bawa anak saya bersama. Malam semalam (kelmarin) mereka berjaga sehingga jam 3 pagi sebab ikut saya bekerja.

“Kalau saya tinggalkan mereka, tak ada siapa yang jaga. Saya perlu kerja supaya anak-anak saya dapat bergembira pada hari raya nanti,” katanya.

Selain menyambut Ramadan di gimnasium, kemungkinan ia juga kali pertama buat Zulkefli dan anak-anaknya menyambut Aidilfitri di situ.

“Anak saya beritahu nak sambut Aidilfitri di rumah nenek mereka belah bekas isteri saya. Saya bukan tak mahu sewa rumah, tapi untuk menyewa sebuah rumah memerlukan deposit dan saya masih belum mampu,” katanya.


0 comments:

share2