Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 12, 2017

JALAN KESBAN ANTARA MALAYSIA-THAILAND AKAN DIBANGUNKAN


Jalan Kesban antara Malaysia-Thailand akan dibangunkan


Kangar - Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) dari Padang Besar, Perlis ke Bukit Kayu Hitam, Kedah di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 26.2 kilometer akan dibangunkan menjadi empat lorong, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata perancangan itu dijangka memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi sepanjang jalan tersebut apabila hab logistik di Padang Besar yang dirancang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) siap kelak.

"Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah meminta supaya suatu rancangan dibuat untuk negeri Perlis susulan cadangan oleh Menteri Besarnya Datuk Seri Azlan Man agar Jalan Kesban dibangunkan.

Mengikut cadangan itu Jalan Kesban yang hanya satu lorong dan tidak berturap akan dibina dengan infrastruktur baharu termasuk tembok kekal untuk menempatkan sistem pertahanan dan kawalan keselamatan, kata Ahmad Zahid kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas berbuka puasa dengan warga Kementerian Dalam negeri (KDN) Perlis dalam program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Timbalan Perdana Menteri.

Perlis ialah destinasi kesebelas program tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut hadir.

Ahmad Zahid berkata pembangunan Jalan Kesban juga membolehkan tahap kawalan dan rondaan keselamatan dipertingkatkan untuk mengekang penyeludupan dan pencerobohan rakyat asing.

Katanya cadangan tersebut bersesuaian dengan perancangan kerajaan membuka pintu sempadan 24 jam mulai 1 Januari 2019 yang akan dimuktamadkan oleh Majlis Keselamatan Negara tidak lama lagi.

Menurutnya pembangunan Jalan Kesban bersesuaian dengan dasar logistik negara untuk menjadikan negeri-negeri utara terutama Perlis sebagai hab pelabuhan darat bagi memudahkan kemasukan barang dan perkhidmatan bagi tujuan perniagaan domestik dan eksport.

"Rancangan jangka panjang ini pada hemat kerajaan persekutuan memerlukan komitmen kerajaan negeri. Saya memberi dokongan untuk perancangan ini yang secara tidak langsung bakal meningkatkan ekonomi dan kuasa beli rakyat," tambahnya.

Beliau berkata rancangan pembangunan Jalan Kesban dibangkitkan oleh Azlan kira-kira lima bulan lepas dalam mesyuarat Pembangunan Fizikal Negara turut dimaklum kepada kerajaan Thailand.

Sebelum itu dalam tazkirahnya, Ahmad Zahid berkata umat Islam di Malaysia wajar mengambil iktibar perpecahan dan perbezaan pendapat oleh umat Islam membawa kepada kehancuran seperti yang berlaku di Timur Tengah.

"Ulama dan umara mempunyai peranan masing-masing terhadap rakyat namun harus ada kebersamaan dalam hal-hal kenegaraan, bermaksud perkara-perkara yang membawa kepada kerosakan hendaklah dielak.

"Kita mempunyai kaedah untuk menyelesaikan perbezaan pendapat tetapi perkara-perkara yang menyentuh adab dan tata susila haruslah berlandaskan ajaran Islam," katanya sambil menambah kerajaan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam isu yang sedang melanda Timur Tengah.

Pada majlis tersebut Ahmad Zahid meyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada 100 anak-anak yatim dari rumah anak-anak yatim seluruh Perlis.

Beliau turut menunaikan solat Maghrib bersama kira-kira 1,000 tetamu dan warga KDN di Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebelum ke Masjid negeri di Arau untuk menunaikan solat Isyak dan tarawih.


0 comments:

share2