Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 21, 2017

GUAN ENG PERLU JAWAB DALAM TEMPOH SEMINGGU


 Guan Eng perlu jawab dalam tempoh seminggu


Cyberjaya - Barisan Nasional memberi tempoh masa seminggu untuk kerajaan Pulau Pinang memberi jawapan berhubung projek Terowong Pulau Pinang yang merangkumi dua bahagian iaitu tiga jalan sambungan dan sebuah terowong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, daripada maklumat yang kita terima dan dibentuk, dapati kos yuran perunding terhadap projek yang bermula sejak penghujung 2013 terbabit adalah empat kali lebih mahal daripada harga yang diwartakan.

Menurutnya, projek ini sehingga sekarang masih belum berjalan sedangkan pembayaran telah pun dilangsaikan.

"Jalan raya dan terowong itu belum dibina lagi dan sehingga kini pun masih belum ada tanda-tanda.

"Berdasarkan daripada surat Lembaga Jurutera Malaysia mengatakan kos rundingan perkhidmatan projek ini mencecah RM41 juta. Pertanyaan kita adalah kenapa kerajaan Pulau Pinang membelanjakan RM 177.5 juta sedangkan harga yang diwartakan oleh Lembaga Jurutera Malaysia adalah RM41 juta," katanya, di sini, semalam.

Justeru, pada pandangan beliau sekiranya Menteri Besar Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak memberikan penjelasan tepat berhubung persoalan ini, maka secara tidak langsung akan menimbulkan persepsi tidak baik.

Jelasnya, persepsi ini adalah salah guna kuasa dan korupsi.

"Tanpa jawapan tepat dan cepat saya tidak salahkan orang ramai jika mempunyai persepsi bahawa mungkin berlaku salah guna kuasa," katanya.

Mengulas tempoh masa yang diberikan untuk kerajaan Pulau Pinang menjawab dakwaan terbabit, Abdul Rahman memberi tempoh kira-kira satu minggu.

"Dah banyak kali kita beri masa mereka untuk beri jawapan. Rasanya tidak perlu kita bawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kita hendak beri peluang kepada mereka supaya mereka tidak kata kita hanya jadikan mereka mangsa. Kita hendak mereka jawab secara terhormat dan kita beri mereka seminggu untuk menjawab.

"Kita ada laporan dan dokumen-dokumen dan jika perlu kita akan bawanya juga ke SPRM.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Eric See-To berkata, sejak 2015, Kerajaan Pulau Pinang memberikan pelbagai alasan terhadap kelewatan itu, termasuk kebimbangan kononnya jalan berkenaan tidak akan mampu menyalurkan limpahan hujan hinggalah kepada alasan tidak tahu siapa pemilik tanah di mana jalan berkenaan akan dibina.

"Ketika ini, Kerajaan Pulau Pinang menyatakan tarikh pembinaan paling awal projek berkenaan boleh dimulakan adalah pada pertengahan 2018, atau dengan sengaja mahu dimulakan selepas PRU14," katanya.

Difahamkan, berdasarkan kepada Laporan Kira-Kira Kerajaan Pulau Pinang 2016, projek bagi tiga jalan dan terowong serta jawapan yang diberikan di Sidang Dewan Undangan Negeri pada 22 Mei 2017 jelas menyatakan, pembinaan tiga jalan dalam projek itu mencakupi jalan berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bagang sepanjang 10.53 kilometer (KM) dengan kos RM377.6 juta, jalan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam sepanjang 5.70KM dengan kos RM851 juta dan jalan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Persiarang Gurney sepanjang 4km dengan kos RM757.9 juta.


0 comments:

share2