Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 12, 2017

TIGA SEBAB PAS BATAL TAHALUF SIYASI DENGAN PKR


Nik Muhammad Zawawi Salleh


Shah Alam - Majlis Syura Ulamak Pas hari ini memutuskan untuk membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, terdapat banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam yang membawa kepada pembatalan ini.

“ PKR tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawakan oleh Pas seperti isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

“Selain itu, PKR turut melanggar adab-adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan Pas dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej parti ini dan khianat dalam hubungan politik Pas dengan bekerjasama dengan pihak yang ingin menjatuhkan Pas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, semua perwakilan sebulat suara menyokong usul memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR, selepas usul itu dibentangkan wakil Dewan Ulamak Pas Pusat, Zulkifli Ismail sewaktu Muktamar Pas kali ke-63 baru-baru ini.

Sebaik perbahasan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari selesai, Pengerusi Tetap Muktamar, Hussin Ismail bertanya kepada perwakilan dan kesemuanya bangun menyatakan sokongan dengan melaungkan, ‘setuju’ beramai-ramai.

Terdahulu, pada pembentangan usul, Zulkifli merujuk kepada perlembagaan Pas, Fasal 5 (Tujuan Pas), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan) sebagai hujah agar Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

Tambah Nik Muhammad lagi, mengenai isu urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada JawatanKuasa Kerja Pas Pusat.

“Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat,” katanya lagi.


0 comments:

share2