Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 13, 2017

TERNAKAN BABI PUNCA AIR TERCEMAR


Ternakan babi punca air tercemar


Alor Gajah - Sikap degil penternak babi di Paya Mengkuang tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan menjadi punca utama pencemaran air di Sungai Tuang dan sekitar Pengkalan Balak, di sini.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, kegagalan mereka mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah dikuatkuasakan kerajaan negeri menyebabkan masalah itu berlaku.

Malah, katanya, notis juga telah dikeluarkan pada 7 Mac lalu.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta Badan Kawal Selia Air bersama agensi dan penguat kuasa berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah dan lain-lain untuk turun padang sekali lagi dan mengeluarkan notis kepada penternak yang berdegil.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri berasa amat kesal dengan tindakan penternak-penternak yang tidak langsung mengambil berat hal sensitiviti masyarakat di kawasan Paya Mengkuang dan Telok Gong.

“Sekiranya mereka masih berdegil dan tak ada alasan kukuh daripada mereka, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya sebagai mengulas laporan Sinar Harian, semalam.

Hasan yang juga Adun Sungai Rambai berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan Jabatan Veterinar untuk menyediakan kertas laporan berhubung perkara ini bagi dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, ia perlu supaya kerajaan negeri dapat menimbang semula pemberian lesen penternak babi di negeri ini dengan melihat sistem kumbahan yang sistematik, bilangan ternakan mengikut keluasan dan sebagainya.

Menurutnya, Badan Kawal Selia Air juga perlu memainkan peranan dan bersama agensi lain memandangkan hanya pihak itu yang boleh mengambil tindakan penutupan ladang ternak babi dengan mengambil kira kesalahan-kesalahan yang banyak dilakukan golongan terbabit.

“Saya juga menyangkal dakwaan kerajaan negeri tidak melakukan sesuatu. Sedangkan ketika pentadbiran Tan Sri Mohd Ali Rustam ketika beliau menjadi ketua menteri, juga telah melakukan pelbagai tindakan termasuk mengurangkan jumlah babi di ladang itu dari 100,000 kepada 40,000 ekor dan penternak kepada 36 orang sahaja dan sehingga sekarang kita turut tekankan teknologi hijau.

“Kalau mereka tak nak ikut, jangan buat. Sedangkan di Perak mampu membuat ladang babi moden yang tidak memberi kesan negatif kepada penduduk dan sistem kumbahan juga melalui bawah tanah, dan ini yang kita mahu mereka contohi,” katanya.


0 comments:

share2