Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 13, 2017

GEMBIRA TERIMA SIJIL PERLEPASAN KEBANKRAPAN


Gembira terima sijil pelepasan kebankrapan


Ipoh - Menerima sijil pelepasan kebankrapan mungkin perkara yang paling menggembirakan bagi golongan peniaga atau usahawan yang selama ini berhadapan pelbagai masalah akibat status bankrap.

Bekas usahawan sebuah syarikat pengangkutan, Hew Kim Yew, 73, berkata, dia gembira terima sijil pelepasan kebankrapan selepas berstatus bankrap selama lebih 32 tahun.

Menurutnya, biarpun tidak berkhidmat lagi di syarikat berkenaan, sijil berkenaan berjaya mengembalikan statusnya seperti biasa.

“Sudah lama saya tunggu sijil ini. Dulu saya kerja di sebuah syarikat pengangkutan.

“Satu hari seorang saudara saya mengambil wang syarikat dan melabur dalam saham. Bila saham jatuh teruk, syarikat hilang banyak wang. Jadi bankraplah,” katanya.

Kim Yew berkata demikian ketika ditemui sempena Program Hari Bersama MdI 2017 di Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Ipoh, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Insolvensi Perak, Hezlin Haldi yang turut menyempurnakan majlis penyampaian sijil pelepasan kebankrapan berkenaan kepada penerima.

Terdahulu, Hezlin memberi taklimat ringkas kepada wakil daripada agensi-agensi berkaitan mengenai Hari MdI 2017.

Kim Yew berkata, setelah diisytiharkan bankrap, kehidupannya pada ketika itu menjadi cukup susah hingga terpaksa tinggal menyewa bagi membesarkan empat anaknya.

Katanya, isterinya tidak bekerja dan ia tambah menyulitkan keadaan.

“Masa itu saya tinggal dengan isteri dan anak-anak di rumah sewa. Isteri tidak bekerja. Selepas anak-anak semua dah besar, mereka (anak-anak) yang menjaga saya pula.

“Tetapi hari ini, saya betul-betul gembira kerana terima sijil ini,” katanya.

Sementara itu, bagi bekas kontraktor, Wong Chek Wah, 80, sijil berkenaan nyata melegakan setelah menunggu selama 30 tahun bagi pelepasan status bankrapnya.

Menurutnya, dia gembira kerana tidak lagi berstatus bankrap yang menyukarkan kehidupannya selama ini.

“Saya sangat seronok kerana dah tunggu 30 tahun lebih. Orang bawa lari saya punya duit, hidup pun jadi susah. Terima kasih, kali ini saya sudah tidak bankrap lagi,” katanya.


0 comments:

share2