Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 10, 2017

[ROMPIN] PANTAU PENEMBAK LESEN AWAM


Pantau penembak lesen awam


Polis memantau penembak lesen awam dan senjata yang dimiliki bagi memastikan ia tidak disalah gunakan serta boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam atau pihak lain.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd Nor berkata, terdapat seramai 145 penembak lesen awam di daerah Rompin dan mereka diminta supaya menggunakan untuk tujuan yang betul.

Menurutnya, mereka juga diminta supaya membawa bersama kelongsong peluru yang telah digunakan ketika mahu membeli peluru baharu bagi tujuan merekodkan jumlah selain sebagai bukti peluru telah digunakan.

“Kita minta supaya penembak lesen awam di daerah ini tidak menyalah guna senjata yang dimiliki dengan menggunakannya untuk tujuan memburu secara haram atau sebagainya.

“Bagi mengelak peluru itu dijual atau sebagainya, setiap kali mereka nak beli peluru baru, kita telah tetapkan mereka kena bawa kelongsong peluru ke tempat jualan sebagai bukti telah guna berapa sekali gus membuktikan ia telah digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ujian Kemahiran Menembak Pelesen Senjata Api Awam Daerah Rompin di Lapang Sasar Zon A, Jalan Taman Negeri Endau Rompin, di sini, kelmarin.

Seramai 117 penembak lesen awam seluruh Rompin hadir pada program ujian menembak dan pemeriksaan senjata itu yang juga bertujuan sebagai syarat untuk mereka memperbaharui lesen.

Azli berkata, dalam program itu juga turut dilakukan pemeriksaan fizikal ke atas peserta, sekiranya ada masalah seperti rabun atau kesihatan yang boleh menjejaskan penggunaan senjata, individu itu akan minta supaya menyerahkan senjatanya.

Katanya, pemeriksaan fizikal ke atas senjata juga dilakukan bagi memastikan berkeadaan baik dan paling penting sesuai dengan keadaan fizikal pemiliknya.

“Kita tak mahu berlaku kes ada orang awam terkena peluru tabur seperti dilaporkan di beberapa negeri sebelum ini yang mungkin disebabkan kecuaian,” katanya.


0 comments:

share2