Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 1, 2017

REMAJA 13 TAHUN JADI WIRA


Remaja 13 tahun jadi wira


Pasir Mas - Seorang remaja dianggap wira apabila tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan 29 rakannya daripada rentung, selepas asrama di Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah (Matais) Mukim Lalang, Banggol Chicha terbakar, awal pagi semalam.

Ahmad Ehsan Iqbal Abdul Halim, 13, berkata, dia pantas mengejutkan rakan-rakan yang berada di dalam asrama berkenaan selepas terhidu bau asap.

"Saya terkejut bila api sedang membakar tilam milik salah seorang kawan yang berada di depan katil saya.

"Saya terus kejutkan kawan-kawan dan arahkan mereka keluar untuk selamatkan diri. Selepas itu, saya bunyikan loceng kecemasan untuk maklumkan kejadian itu kepada pelajar lain," katanya.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan hanya mampu melihat dari jauh tanpa sempat berbuat apa-apa kerana api marak terlalu cepat.

Bagaimanapun, katanya, mereka reda dengan kejadian itu dan menganggap ia sebagai ujian daripada Yang Maha Esa.

Sementara itu, Muhamad Danish Haikal Ibrahim, 13, berkata, dia langsung tidak sedar walaupun tilam miliknya sedang dijilat api.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Ahmad Ehsan Iqbal kerana kejutkan saya masa kejadian itu.

"Jika bukan kerana dia, saya tak tahu apa yang akan berlaku kerana api marak dengan cepat serta asap sangat tebal," katanya.

Tinggal sehelai sepinggang

Sementara itu, Pengetua Matais, Hamzah Ishak berkata, kejadian kira-kira jam 4 pagi itu berlaku ketika kesemua 30 pelajar Matais sedang nyenyak tidur.

Menurut beliau, kejadian berkenaan menyebabkan pelajar terbabit tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, pelajar terbabit akan berkongsi asrama dengan pelajar lain buat sementara waktu.

"Mereka masih lagi trauma kerana terpaksa melalui detik-detik cemas itu di depan mata sendiri.

"Kebanyakan mereka berkaki ayam dan ada tidak mempunyai baju untuk dipakai kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda akibat api yang merebak terlalu cepat," katanya.

Beliau berkata, kebakaran tersebut menyebabkan bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama pelajar serta bilik pembelajaran dan pejabat musnah teruk.

Hamzah berkata, pelajar bukan sahaja kehilangan pakaian, kitab dan bahan pembelajaran tetapi duit yuran serta duit poket juga turut musnah.

"Kebetulan semalam hari untuk membayar yuran dan kesemua mereka belum sempat berbuat demikian.

"Kami berharap orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui Bank Islam 03027-02018-9897 atau Bank Simpanan Nasional 0355-0410-0001-6137 di atas nama Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Duniya Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.23 pagi.

Kata beliau, seramai 17 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat dan memadamkan api.

"Setakat ini, kita masih menyiasat punca dan anggaran kerugian," katanya.


0 comments:

share2