Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 23, 2017

[RAUB] JANGAN BERKIRA DEMI ILMU AGAMA


Jangan berkira demi ilmu agama


Akademi Pengajian Raudhatul Quran (APRQ), Raub mengadakan Majlis Khatam al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan kali ke-11 bagi meraikan pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 dan peperiksaan akhir tahun 2016.

Pada masa sama, ia juga bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar dewasa, remaja dan kanak-kanak yang khatam al-Quran tahun ini dan tahun lepas.

Majlis yang berlangsung di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud, Raub itu dihadiri kira-kira 500 tetamu dan dirasmikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Pada majlis itu, pelajar tahun 6, Ali Baker Abd Rashid terpilih tokoh pelajar atas kejayaannya memperoleh keputusan 8A dalam UPKK 2016 selain penglibatan aktifnya dalam kokurikulum.

Turut diraikan lapan pelajar APRQ yang berjaya menduduki tempat 10 terbaik UPKK bagi daerah Raub.

Mereka terdiri daripada Adam Basree Mohd Zawawi, Ali Baker Abd Rashid, Harith Suhaimi Saadon, Harith Adam Mohd Rafei, Nur Anis Nabila Zulkifli, Nur Fatin Umairah Juhari, Wan Nur Izzati Wan Abdul Rahman dan Ainur Arissa Qistina Adi.


Hussamuddin (enam, kiri) dan Zainab (sembilan, kiri) bersama guru dan warga APRQ


Sementara itu, 30 pelajar memperdengarkan bacaan al-Quran pada majlis khatam al-Quran diketuai Mohd Phareigh Tarmizi Mat Arop.

Dalam ucapan perasmiannya, Hussamuddin berkata, APRQ diharap dapat menjadi Sekolah Agama Rakyat dan Kelas Fardu Ain (Sar’Kafa) contoh di Raub.

Menurutnya, akademi itu berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang selain komited dalam memberi ilmu agama dan al-Quran kepada masyarakat bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak malah golongan dewasa.


Zainab (duduk, tiga kanan) bersama guru dan kakitangan APRQ

Tambahnya, ibu bapa tidak sepatutnya berkira dalam memberi ilmu agama dan al-Quran kepada anak-anak kerana ia dapat menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

“Sesetengah ibu bapa sanggup menghantar anak-anak ke kelas tuisyen untuk kecemerlangan akademik namun tidak berbuat demikian untuk al-Quran dan Fardhu Ain,” katanya.

Sementara itu, pengetua APRQ, Zainab Suboh berkata, Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) sewajarnya diwujudkan di setiap sekolah sebagai usaha mengukuhkan akidah, penguasaan al-Quran dan Fardhu Ain dalam kalangan pelajar secara percuma.


0 comments:

share2