Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 14, 2017

[MARAN] PROMOSI PRINSIP WASATIYYAH


Promosi prinsip wasatiyyah


Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Pahang giat mempromosikan prinsip wasatiyyah bagi mengelakkan umat Islam daripada terjerumus ke kancah salah tafsir jihad dan pelampau agama, menerusi Program Bicara Mufti, di sini, hari ini.

Pengerusi Aswaja, Yunan Abdul Samad berkata, program berkenaan yang akan bermula jam 8.30 pagi itu turut diserikan dengan pelbagai atur cara lain seperti tahlil perdana, pertandingan azan, kuiz agama, mewarna kanak-kanak dan sukan memanah yang terbuka kepada orang ramai.

“Pihak Aswaja di Madrasah Raudah Al-Muhibbin optimis menganjurkan Program Bicara Mufti ini dalam usaha menangani pengaruh ekstremis dalam kehidupan kemanusiaan sejagat dan akidah.

“Madrasah yang popular dengan nama Pondok Pak Kob ini terletak di Seberang Temerloh akan menampilkan dua tokoh iaitu Mufti Pahang, Dato' Sri Abdul Rahman Osman yang membicarakan Siapakah Ahli Sunnah Al Jamaah pada jam 2 petang.

“Manakala Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang berpengalaman dalam membanteras gerakan keganasan membicarakan tajuk Apakah Aqidah Daesh pada jam 9 pagi,” katanya kepada pemberita, semalam.

Yunan berkata, kedua-dua tokoh yang pakar dalam bidang masing-masing itu akan mengupas secara terperinci tentang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kumpulan Daesh yang meresahkan dunia.

Menurutnya, prinsip kesederhanaan dalam kehidupan umat Islam menjadi benteng kepada fahaman ekstrem seperti yang menjadi amalan dalam kumpulan Daesh.

Melalui program seperti ini katanya, umat Islam diharapkan tidak terperangkap dengan persengketaan isu-isu agama yang remeh temeh yang boleh menjejaskan hubungan ukhuwah dan perpaduan rakyat.

Menurutnya, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin dan Ustaz Barakatullah Mohd Bahari yang juga Pengarah Program akan bertindak sebagai moderator.

Antara isu yang dibincangkan ialah berkaitan larangan menziarahi kubur pada hari raya, bacaan doa qunut dan polemik jumlah rakaat solat tarawih.

Katanya, isu-isu yang tidak menjejaskan akidah tidak perlu diperbesarkan kerana umat Islam ada tanggungjawab lebih besar untuk mengukuhkan kedudukan Islam di negara ini.

“Apa yang berlaku di beberapa negara Islam yang berpecah belah, bersengketa sesama sendiri yang membawa kepada pertumpahan darah hanya disebabkan perbezaan pendapat asas berkaitan agama berlaku di negara itu.

“Ini kerana kesilapan fahaman agama seperti memanipulasi erti jihad oleh pihak tertentu boleh membawa kesan buruk kepada perhubungan sesama Islam di seluruh dunia khususnya di negara ini,” katanya.

Beliau mengingatkan akan kesan buruk jika berlaku pertembungan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan aliran lain seperti Syiah yang berlaku di beberapa negara Arab dan Pakistan walaupun dalam satu rumpun bangsa.

“Pertembungan kepentingan dan fahaman ini memberi peluang kepada musuh-musuh Islam memasukkan jarum-jarum fitnah dan adu domba mendorong kepada pertumpahan darah sesama sendiri,” katanya.


0 comments:

share2