Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 2, 2017

[MARAN] KOMPAUN MAJIKAN GAGAL DAFTAR


Kompaun majikan gagal daftar


Tindakan tegas akan diambil ke atas majikan yang masih gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas amaran dan peringatan diberikan beberapa kali.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda serta merta serendah RM500 hingga RM4,000 mengikut seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

Menurutnya, seramai 170 majikan ataupun syarikat yang tidak mendaftar perusahaan dan pekerja telah dikenakan kompaun sejak Januari hingga Februari tahun ini membabitkan kutipan sebanyak RM92,475.

“Tindakan mahkamah juga akan diambil ke atas majikan terbabit jika masih terus gagal mendaftar walaupun telah dikenakan kompaun. Mengikut Seksyen AKSP 1969, pesalah turut berdepan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali.

“Kita tidak akan bertolak ansur dalam masalah ini, malah tindakan tegas akan tetap diambil ke atas majikan terbabit. Pendaftaran bertujuan memastikan supaya kebajikan dan hak pekerja di negara ini mendapat perlindungan keselamatan sosial,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Khas Pemantapan Jentera Pilihan Raya Peringkat Pusat Daerah Mengundi Parlimen Maran di Kem Bina Negara Kuala Sentol, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jasa negeri, Yusoff Jamaluddin dan Pengarah Biro Tata Negara Pahang Hamizi Yaakob.

Ismail berkata, sehingga kini terdapat lebih 1.5 juta majikan berdaftar dengan Perkeso manakala hanya seramai 416,331 majikan yang aktif.

Dalam pada itu seramai 16.12 juta pekerja turut berdaftar setakat ini dengan 6.3 juta adalah pekerja aktif.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Maran turut menggesa majikan ataupun syarikat yang masih belum mendaftar supaya segera berbuat demikian sebelum tindakan tegas diambil tanpa sebarang amaran atau peringatan.


0 comments:

share2