Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 9, 2017

[JERANTUT] SEPAKAT BANGUNKAN TANAH TERBIAR


Sepakat bangunkan tanah terbiar


Selepas banjir besar melanda negeri ini lebih 40 tahun lalu, sebidang tanah seluas kira-kira lima hektar di Kampung Simpang Tebing Tinggi dibiarkan berhutan tanpa diteroka.

Tidak mahu ia terus mencacatkan pemandangan kampung itu tambahan pula ia berdekatan dengan padang, astaka dan dewan kampung berkenaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah bersepakat untuk membangunkannya. 

Pengerusinya, Mohd Arif Yusof berkata, pada asalnya tapak itu dicadangkan untuk pembinaan kawasan perumahan bagi penduduk kampung itu. 

Sementara cadangan itu dilaksanakan katanya, pihak JKKK bersepakat untuk membuat permohonan untuk menjadikan kawasan itu sebagai lokasi tanaman kontan dan memilih untuk menanam pokok pisang berangan. 

“Permohonan kami diluluskan dan sejak penghujung tahun lalu, projek tanaman kontan pisang berangan ini dimulakan dengan mencuci tanah yang sudah berhutan ini. 

“Sekitar Mac lalu, kami telah mula bercucuk tanam dengan mendapatkan sekitar 400 anak tisu pisang berangan," katanya. 

Menurutnya, seramai 12 peserta terpilih terdiri dari generasi kedua Kampung Simpang Tebing Tinggi yang bekerja di kampung mengusahakan tanaman itu. 

“Mereka yang terpilih ini merupakan anak generasi kedua kampung ini yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Diharap projek ini sedikit sebanyak nanti dapat menambah pendapatan peserta dan membangunkan ekonomi kampung ini,” katanya. 

Mohd Arif berkata, sejak mengusahakan projek itu, ia berjaya mengubah sikap peserta yang sebelum ini lebih banyak menghabiskan masa di kedai kopi. 

“Budaya membuang masa di kedai kopi dapat dikurangkan memandangkan masing-masing banyak menghabiskan masa di kebun di mana setiap dari mereka bertanggungjawab menjaga satu ekar (0.4 hektar) tanaman. 

“Masing-masing merasa teruja untuk melihat tanaman mereka membesar tambahan pula kami ada membina sebuah pondok tempat kami berkumpul. Malah seluruh isi keluarga terlibat sama menjayakan projek ini,” katanya. 

Tidak hanya itu, Mohd Arif berkata, projek itu turut mendapat perhatian Pejabat Pertanian Daerah Jerantut di mana ia merupakan projek pertama seumpama itu bagi Mukim Tebing Tinggi dan merupakan antara tiga projek seumpamanya di daerah ini. 

“Kami harap projek seumpama ini dapat dikembangkan lagi di masa akan datang justeru lebih ramai anak generasi Kampung Tebing Tinggi yang bekerja di kampung dapat menjana pendapatan tambahan sebegini,” katanya. 

Dalam pada itu Khamis lalu, satu kenduri doa selamat diadakan di kebun pisang berkenaan sebagai tanda kesyukuran peserta kerana menjayakan projek itu. 

Majlis kesyukuran itu turut dihadiri Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ketua Pegawai Eksekuti Pertanian Daerah Jerantut, Ahmad Rani Mahmud. 

Ahmad Nazlan yang turut menyempurnakan upacara perasmian dengan simbolik menanam pokok belimbing buluh di atas tapak kebun pisang berangan itu berharap supaya usaha dijalankan dilakukan dengan bersungguh-sungguh selain tidak mensia-siakan kemudahan diberikan.


0 comments:

share2