Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 18, 2017

[BENTONG] PADAH BERBOGEL, PESERTA DIDENDA RM1,500


Padah berbogel, peserta didenda RM1,500


Padah kerana berbogel di tempat awam, seramai 28 peserta lelaki yang terlibat dalam kem motivasi di Selesa Hill Homes Resort, Bukit Tinggi di sini pada 21 Januari lalu didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Seramai 23 peserta didapati bersalah berbogel di sebuah pusat peranginan di Bukit Tinggi di sini manakala lima lagi peserta didapati bersubahat dalam melakukan aktiviti tidak bermoral itu.

Selain itu lima fasilitator termasuk jurulatih kem motivasi itu didenda RM3,000 dan penjara sebulan bermula tarikh ditangkap iaitu pada 22 Januari lalu.

Lima wakil syarikat berkenaan ialah, Yew Kian shyong, 45, Cheak Yen Wah,33; T'ng Cheng Leong,44; Lie Keh Feng, 23; dan Lim Eu Geen,26.

Majistret Khairuddin Anhar Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mendatangkan kegusaran kepada Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Selesa Hillhomes, Rozana Chung Abdullah dengan berkelakuan lucah berbogel.

Kesalahan itu dilakukan di tempat awam padang permainan pusat peranginan berkenaan pada pukul 5.30 petang pada 21 Januari lalu.

Berikutan itu kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana masing-masing mempunyai komitmen terhadap kerjaya.

Salah seorang tertuduh yang merupakan jurulatih kem motivasi berkenaan dalam rayuannya mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian berkenaan dan berharap kesemua peserta dikenakan hukuman yang paling ringan.

Menurutnya, kem motivasi itu dijalankan untuk mengeratkan kasih sayang antara anggota keluarga, namun diakui dilakukan sehingga di luar kawalan.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Ismantie Ismail yang mewakili pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh kerana perbuatan mereka melanggar tatasusila.

"Ia bukan sahaja melanggar Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan tetapi turut mendatangkan kegusaran kepada wanita dan juga kanak-kanak yang berada di kawasan sekitar,"ujarnya.

Sementara itu, Sinar Harian pada 21 Januari lalu seramai 39 peserta satu program motivasi melakukan tindakan melampau dengan berbogel dalam satu aktiviti sukan motivasi di kawasan padang pusat peranginan di Bukit Tinggi.

Susulan itu, polis menahan seramai 48 orang termasuk sembilan fasilitator program motivasi berkenaan bagi membantu siasatan di bawah

Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.


0 comments:

share2