Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 2, 2017

PENDAKI TERTUA MALAYSIA BERLEPAS KE KATHMANDU


sgdfg


Sepang - Pendaki gunung tertua Malaysia James Lee Chong Meng berlepas ke Kathmandu, semalam bagi melaksanakan misi menawan puncak Gunung Everest.

Chong Meng, 69, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini, menerusi penerbangan Malindo Air pada 6.45 petang, disertai dua pendaki lain iaitu Eugene Kwan Jyh Sin dan Chong Nyuk Kooi.

Rombongan itu juga disertai tiga anggota Kelab Lions Port Dickson Pantai (LCPDP) yang akan bertindak sebagai pembantu.

Ini percubaan kali kedua Lee mendaki Gunung Everest bagi menjayakan misi 'The Lion Mount Everest Expedition (MEE) 2017', yang dianjurkan oleh LCPDP.

Pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan pendakian peringkat akhir ke puncak Gunung Everest ketika beliau sampai di Kem III di ketinggian 7,200 meter akibat cuaca buruk. Gunung Everest berketinggian 8,848 meter.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan rakan media kepada ekspedisi itu.

Pengarah Kewangan bagi ekspedisi itu, Jesu Dass Muthu berkata kesemua mereka akan singgah di Kathmandu, Nepal sebelum meneruskan perjalanan ke Lukla pada 3 April, lokasi di mana terletaknya lapangan terbang yang disifatkan sebagai 'paling berbahaya' yang juga merupakan tempat bermulanya ekspedisi.

Beliau berkata Kwan, 47, dan Chong, 49, akan mengiringi Lee ke 'Base Camp' Gunung Everest, dan Lee kemudian akan meneruskan pendakian ke puncak.

Katanya, beliau bersama Presiden LCPDP Tan Sri Othman Abd Razak, Gabenor Daerah LCPDP Datuk Dr L. Krishnan dan bendahari LCPDP, akan berlepas ke Kathmandu esok, bagi sama-sama memberi dorongan kepada Lee di Lukla, sebelum misi selanjutnya diteruskan.

Bercakap kepada Bernama, Jesu Dass berkata Kwan, Chong dan tiga anggota ekspedisi hanya akan berada selama 18 hari di sana, sebelum pulang semula ke tanah air.

Beliau berkata Lee akan berada di sana sehingga awal Jun bagi melakukan latihan di Base Camp, antaranya berjalan dari kem ke kem serta mendaki gunung lain bertujuan membiasakan diri dengan cuaca sejuk.

Jesu Dass berkata Lim akan berlatih sehingga tingkap atau 'window' pendakian dibuka pada penghujung Mei, di mana semua pendaki dari seluruh dunia berkampung bagi melakukan pendakian ke 'bumbung dunia' itu.

Window hanya dibuka pada penghujung Mei dan biasanya tempoh sehingga tiga hari sahaja dibenarkan bagi setiap pendaki untuk mendaki ke puncak, katanya.

Ditanya mengenai persediaan Lee, Jesu Dass berkata sahabatnya itu cukup bersedia dan berkeyakinan untuk sampai ke puncak sekaligus menyampaikan mesej MEE kepada dunia.

Katanya, berdasarkan pengalaman yang dimiliki serta pengetahuan mengenai selok-belok pendakian, Lee yakin dan menanam keazaman yang tinggi untuk menggapai puncak tertinggi itu.

Lee akan membawa dua mesej penting MEE iaitu untuk mengilham penduduk dari setiap peringkat umur agar berusaha mendapatkan kesihatan yang baik dan memainkan peranan aktif dalam masyarakat.

Ekspedisi itu juga menyeru supaya dihentikan perbuatan menggondol bukit, penebangan pokok, penebusan tanah dan pembakaran terbuka demi memelihara bumi untuk generasi masa hadapan.


0 comments:

share2