Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 8, 2017

LAPAN BULAN MAKAN NASI LAUK GARAM

Lapan bulan makan nasi berlaukkan garam



KUALA LUMPUR - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu situasi yang dapat digambarkan mengenai keluarga Fandy Bakran, 27, seorang daripada mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf, apabila kediaman mereka di Tawau, Sabah turut musnah dalam kebakaran selepas 10 hari insiden penculikan itu.

Menceritakan detik hitam itu, ibunya, Hasmia Lahapi, 51, berkata, perasaan sedih yang dihadapinya amat sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Bayangkan kehidupan yang saya lalui, setiap malam tidak dapat tidur memikirkan keselamatan anak yang diculik.

“Rumah kami pula tiba-tiba musnah dalam kebakaran dan terpaksa menumpang di rumah saudara-mara. Apa pun saya bersyukur kerana anak kembali ke pangkuan keluarga” katanya kepada media, semalam.

Terdahulu, selain Fandy, dua mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf, Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, bersama keluarga masing-masing bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman rasmi beliau di Taman Duta, di sini.

Ketiga-tiga mereka diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di kawasan umum Punay (Publicion) Panglima Estino, Filipina pada 11.30 malam Ahad.

Sementara itu, Harianti Hamsi, 31, isteri kepada Mohd Ridzuan berkata, kehidupan yang dilaluinya lebih lapan bulan lalu selepas kehilangan suami amat perit dan sukar digambarkan.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia dimaklumkan mengenai penculikan itu daripada rakan suaminya.

“Selepas suami hilang, anak pula demam panas dan saya juga perlu menguruskan anak sulung kami Noridawati, 6, yang merupakan orang kurang upaya (OKU),” katanya sambil menitiskan air mata.

Harianti turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutama kerajaan Malaysia yang berusaha menyelamatkan suaminya, lapor Bernama.

Sementara itu, mangsa culik, Fandy Bakran berkata, semua mangsa culik hanya menjamah nasi putih berlaukkan garam sepanjang tempoh lebih lapan bulan mereka diculik, selain ditugaskan memasak kepada anggota kumpulan militan itu setiap hari.

“Kami masak bagi mereka makan, kalau ada lebih baru makan kalau tidak bersabar saja... saya bayangkan nasi garam itu ibarat ayam dan terus makan tanpa fikir apa-apa lagi,” katanya.

Mohd Ridzuan Ismail pula berkata, beliau hanya mampu bertahan dan berdoa kepada ALLAH agar melindungi beliau daripada perkara tidak diingini sepanjang berada di bawah kumpulan berkenaan.

Beliau yang mempunyai seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU), Noridawati, 6, menzahirkan rasa syukur selepas bertemu anggota keluarganya termasuk isteri, Harianti Hamsi, 31, dan dua lagi anak perempuannya iaitu Nur Ain Sofia, 3, serta Nur Amira Nasuha, 11 bulan.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika bertemu mereka (keluarga) setelah lapan bulan terpisah.

“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Najib atas usaha mereka menyelamatkan kami,” katanya.




0 comments:

share2