Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 9, 2017

[KUANTAN] SERIK JALANI HUKUMAN

Bidin bertemu dengan Ahmad (kiri) dan Shahrul di RKKTAF Alor Akar ketika Program Keceriaan Institusi



Tempoh tiga tahun seorang remaja terlibat dalam aktiviti mencuri pelbagai barangan termasuk komputer riba menemui titik noktah apabila dia ditangkap pihak berkuasa.

Ahmad, 20, berkata, dia melalui kehidupan sebagai pencuri seawal usia remaja kerana terjebak dengan rakan-rakan sehingga ia menjadi satu tabiat.

Menurutnya, dia sanggup membahayakan nyawanya semata-mata ingin mencuri komputer riba di sebuah kolej ketika usianya 15 tahun.

“Saya rela panjat bangunan tiga tingkat untuk mencuri komputer riba tanpa fikirkan keselamatan diri.

“Ketika itu, saya dah tak fikir apa-apa, yang penting saya akan dapat duit hasil barang curi tersebut,” katanya.

Dia ditemui pada Program Keceriaan Institusi yang dirasmikan oleh pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Bidin Awang di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAF) Alor Akar, di sini semalam.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu berkata, kerana terlalu ikutkan hati dia menjadikan kegiatan mencuri sebagai pendapatan utamanya.

“Bagaimanapun, kegiatan saya bersama seorang rakan selama tiga tahun akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa yang melakukan pelbagai cara untuk menangkap kami.

“Rakan saya ditangkap polis sebelum saya diberkas dan kegiatan jahat dilakukan sebelum ini berakhir tahun lalu,” katanya.

Akibatnya, Ahmad menerima hukuman perintah khidmat masyarakat selama 440 jam kerana dua kesalahan iaitu mencuri dan menghapuskan barang curi.

Katanya, hukuman yang diterima menyedarkan dirinya dan menjadi iktibar supaya tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu.

“Saya mahu mulakan hidup baharu dan bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal. Saya tak mahu terjebak dengan perkara tidak elok selepas ini,” katanya.

Bagi Shahrul, 21, pula, dia terbabit dalam kegiatan mencuri barangan pelancong yang menginap di sebuah chalet bersama seorang rakan tahun lalu.

Dia menerima hukuman perintah khidmat masyarakat selama 240 jam.

Katanya, kejadian itu menginsafkannya dan berjanji tidak akan terbabit dengan kegiatan itu lagi.

Pada program itu, seramai 30 remaja yang menjalani hukuman perintah khidmat masyarakat dan mereka melakukan pelbagai aktiviti seperti mengecat, memotong rumput selain mencuci longkang.




0 comments:

share2