Sikapnya yang tidak gemar berswafoto atau merakam video untuk berkongsi dengan rakan-rakan di laman sosial sepanjang empat bulan berada di negara ini mungkin salah satu sebab kisah pemuda berasal dari London yang fasih berbahasa Melayu ini tidak pernah menjadi tular.
Ramai tidak menyangka Joshua Parfitt, 24, fasih berbahasa Melayu kerana kebiasaannya masyarakat di negara ini gemar berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris apabila bertemu pelancong 'mat salleh'.
Bagi Joshua, dia lebih selesa berbahasa Melayu sepanjang berada di negara ini, justeru kadangkala dia terlebih dahulu menegur orang yang ditemui supaya mereka tahu dia boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan negara ini.
“Ada juga yang bercakap dengan saya dalam bahasa Inggeris akhirnya tersipu malu selepas menyedari saya sebenarnya boleh berbahasa Melayu,” katanya.
Tertarik bahasa, budaya Melayu
Pertemuan penulis dan pemuda itu di sebuah warung di Kampung Pelindung di sini menyingkap kisah di sebalik kehidupan Joshua yang begitu tertarik dengan bahasa dan budaya Melayu sehingga dia nekad mempelajari bahasa Melayu dalam tempoh dua tahun daripada seorang guru yang berasal dari Indonesia.
“Saya mula belajar bahasa Melayu sejak 2014, ketika belajar di School of Oriental and African Study di London.
“Bermula dari situ saya turut mengambil inisiatif sendiri mendalami bahasa ini dengan mengenali budaya orang Melayu melalui komuniti Malaysia di London.
“Saya juga gemar baca buku kanak-kanak tentang kisah-kisah klasik seperti cerita Bawang Putih Bawang Merah kerana buku-buku ini lebih senang difahami dan ternyata ia banyak membantu saya menguasai bahasa ini,” katanya.
Joshua yang tamat pengajian dua tahun lalu berkata, melalui bahasa itu minatnya kepada budaya Melayu semakin bercambah sehinggakan terpikat dengan masakan Melayu terutamanya nasi lemak.
Pemidato BM peringkat antarabangsa
Disebabkan kefasihan berbahasa Melayu, anak kedua dari dua beradik ini terpilih menyertai pertandingan pidato Bahasa Melayu peringkat antarabangsa di Putrajaya pada 2015.
Menurutnya, peluang menyertai pidato itu satu pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan kerana pada ketika itu dia dapat menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan lebih dekat dan lebih manis dapat berkaraoke dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Bagi Joshua, negara ini sudah tidak asing baginya apabila sudah beberapa kali melancong ke sini sebagai backpacker, namun dia pertama kali menjejakkan kaki ke Kuantan.
“Beberapa tahun lalu saya pernah singgah di Bentong, Pahang sebagai backpacker dan terpaksa bekerja sambilan di sebuah kandang kambing di Karak sebagai bayaran untuk penginapan percuma disediakan.
“Sepanjang berada di sini, saya ambil kesempatan mendalami bahasa dan budaya Melayu selain turut melancong ke Indonesia dan beberapa negara Asean lain,” katanya.
Menurutnya, biarpun baru menamatkan pengajian dan belum mempunyai pekerjaan, dia tetap berpeluang merantau ke negara orang bagi mencari pengalaman.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang agak kukuh ekonominya, jadi saya tak perlu fikir untuk bekerja bagi membantu keluarga dan kesempatan ini saya ambil untuk melancong bagi menimba pengalaman dan mengenali budaya negara orang,” katanya yang berminat dalam bidang kewartawanan.
Menurutnya, Malaysia sebuah negara yang indah dan mempunyai keunikan tersendiri melalui kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi.
“Saya suka berada di sini dan ternyata keputusan singgah di Kuantan sebelum kembali ke London amat tepat apabila berpeluang menghayati keindahan pantai di sini terutama Pantai Cherating dan Pantai Teluk Chempedak,” katanya.
Pemuda itu berkata, dia juga puas menikmati makanan di sini terutama nasi lemak yang boleh dikatakan menjadi menu utama sarapan setiap hari.
Timba pengalaman, jumpa kawan baharu
Joshua berkata, sebagai backpacker, banyak cabaran terpaksa dilalui memandangkan negara-negara yang dikunjungi terlalu asing baginya.
Semuanya baru dan kadangkadang menimbulkan perasaan kurang selesa namun dalam mencari pengalaman hidup, semuanya harus ditempuhi.
“Saya sendiri akui banyak dapat pengalaman luar biasa, dapat kawan baharu dan paling penting dengan kebolehan berbahasa Melayu saya juga dapat belajar budaya masyarakatnya sekali,” katanya.
Sementara itu, Syed Khairul Aswad Syed Mokhtar, 32, yang menjadi tuan rumah sepanjang Joshua berada di Kuantan berkata, dia tidak pernah mengenali Joshua sebelum pemuda itu menghubungi melalui laman sosial dan menyatakan hasrat untuk datang ke Kuantan serta ingin menumpang di rumahnya.
Katanya, dia yang selalu menjadi tuan rumah kepada pelancong backpacker menyelidik latar belakang Joshua sebelum menerimanya.
“Saya tak tahu pun dia boleh berbahasa Melayu. Masa dia sampai sini, seperti biasa kami berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sehinggalah dia beritahu boleh berbahasa Melayu, malu juga saya jadinya.
“Saya sendiri kagum dengannya kerana cukup minat dengan budaya Melayu, jadi
sepanjang dia berada di sini, saya cuba kongsi budaya orang-orang di sini termasuk makanan dan tempat menarik, ternyata dia cukup berpuas hati.
“Paling penting saya dapat kenal dan kami berdua jadi kawan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment