Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 20, 2017

HINDARI ANAK JADI MANGSA EKSPLOITASI INTERNET


Media sosial


Kuala Lumpur - Ibu bapa dinasihat berwaspada terhadap perubahan yang berlaku pada anak masing-masing kerana dibimbangi mereka menjadi mangsa eksploitasi melalui internet oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), antara perubahan yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah perubahan sikap, emosi, dan masalah disiplin secara mendadak, mengasingkan diri dari keluarga dan rakan-rakan, terlalu berahsia serta sering menyendiri.

"Juga perlu diperhatikan apabila anak-anak tidak lagi minat dalam aktiviti harian atau di luar sekolah; dan keluar rumah tanpa memberitahu keluarga dan berjumpa dengan orang lain di tempat yang di luar kebiasaan," menurut KKMM dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Kementerian itu memberi jawapan itu terhadap soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang meminta KKMM menyatakan apakah usaha kementerian tersebut dalam memupuk kewaspadaan dalam kalangan ibu bapa terhadap eksploitasi kanak-kanak dalam media sosial seperti 'Facebook' dan 'WhatsApp' serta apakah tanda-tanda yang perlu diperhatikan jika berlaku.

Menjelas lanjut, kementerian itu menyatakan antara pendekatan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha untuk memupuk kewaspadaan terhadap eksploitasi kanak-kanak dalam media sosial adalah menerusi program "Klik Dengan Bijak" (KDB).

"Bermatlamatkan selamat, waspada dan tanggungjawab, program KDB menyarankan semua pihak mengamalkan kawal selia kendiri semasa menggunakan internet demi melahirkan warganegara digital yang pintar.

"Satu daripada mesej utama advokasi yang disampaikan ialah peranan ibu bapa bagi melindungi keselamatan kanak-kanak semasa dalam talian. Ini termasuklah inisiatif kawal selia ibu bapa serta kesedaran tentang bahaya 'online grooming dan sexting'," jelasnya.

Selain itu, menurutnya pihak ibu bapa perlu memastikan mereka berpengetahuan dan berkemahiran dalam menggunakan aplikasi-aplikasi terkini dan popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dan perlu sentiasa peka dengan kegiatan serta interaksi anak-anak mereka semasa dalam talian selain menasihati anak-anak untuk menggunakan internet yang selamat.

Menjawab soalan mengenai tindakan ke atas laman sosial palsu yang menggunakan nama penceramah bebas untuk menyebarkan hadis palsu dan mengutip derma, KKMM berkata jika disabitkan kesalahan, pihak yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Tindakan boleh diambil sekiranya wujud elemen kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya bagi kandungan yang memenuhi intipati kesalahan berbentuk sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik.

Bagi kegiatan membabitkan penipuan melibatkan wang ringgit adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia dan boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan.


0 comments:

share2